Diberhentikan Kerja, Intai Peluang Sambung Master di FiTA UiTM

Sambung master. Ada yang kata tindakan sambung master bukanlah satu keputusan terbaik ketika keadaan kewangan kritikal. Yalah, CikYam kan dah hilang pekerjaan disebabkan pandemik ni. Tapi, entah kenapa semangat nak sambung master membuak-buak.

Lepas hilang pekerjaan, CikYam akui agak hilang arah dalam hidup ni. Semua benda CikYam nak buat sebab bimbang duit takde kat tangan. Salah satunya, CikYam cuba nak sambung belajar. Entahlah, mungkin bila ada pendidikan tinggi sikit, lebih mudah nak dapat kerja. Jadi lecturer ke, mungkin. Entahlah. Memang tak tau nak cakap pasal masa depan. Lagipun, pada pendapat CikYam, tak rugi pun sambung belajar, sebab menuntut ilmu.

CikYam pada awalnya mohon sambung master di Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Permohonan berjaya. Tapi bila CikYam belek yurannya, allahuakbar, CikYam seolah-olah baru tersedar dari mimpi. CikYam tak mampu.

CikYam cuba cari dana melalui beberapa organisasi yang ada menyediakan biasiswa. Atas faktor umur dan juga bidang pengajian yang CikYam pilih, memang tak layak. Akhirnya, CikYam lupakan hasrat nak sambung belajar.

Sedang berduka lara, tiba-tiba seorang kawan lama beritahu CikYam pasal pengajian master di UiTM. Dengan yurannya yang jauh lebih murah, CikYam terpanggil untuk memohon. CikYam pilih Sarjana Industri Budaya dan Kreatif (Master Of Cultural And Creative Industries) secara kerja kursus di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA).

FiTA ni sebenarnya fakulti yang sama ketika CikYam ambil Sarjana Muda dulu. Cuma nama fakulti tu dah bertukar. Asalnya Fakulti Seni Persembahan (FSP). Lepas tu tukar nama ke Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (TEKA). Terkini namanya lebih best iaitu Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA). CikYam ialah pelajar batch pertama FSP tahun 1999-2002.

SIAPA YANG PATUT BELAJAR KAT SINI?

FiTA mengalu-alukan individu yang berminat menerokai dunia industri budaya dan kreatif terutamanya dalam konteks konten kreatif berbentuk imej bergerak, teknologi digital dan seni persembahan.

Bagi CikYam sendiri, sebagai penulis, CikYam percaya setiap konten bermula dengan sebuah teks bertulis. Apa-apa sahaja konten yang dibuat sama ada imej bergerak, teknologi digital dan seni persembahan bermula dengan skrip. Kan?

BERAPA LAMA TEMPOH PENGAJIAN?

3 semester secara sepenuh masa.

MAK-MAK NAK SAMBUNG MASTER, APA CABARANNYA?

Setakat entri ni ditulis, CikYam masih belum start kelas pun lagi. Insya-Allah next week akan mula kelas. Cabarannya CikYam masih belum nampak. Tapi dah boleh rasa.

Antaranya tentulah nak bahagikan masa. Dulu masa first degree, CikYam bujang. Sekarang ni CikYam bini orang, ada anak dua orang pulak tu. Dahlah tak kerja, tak ada pendapatan. Yuran pun bayar sendiri, bukannya ditanggung oleh mana-mana pihak. Jadi, semuanya atas batu jemala patiklah. Semua kena tanggung dan hadap. Stress atau tak, kita tengoklah nanti ya!

APA SUBJEK SEMESTER 1?

Untuk semester pertama pengajian master CikYam ni, CikYam daftar 4 subjek dengan 13 kredit hour. Ini subjeknya:

1) Cultural and Creative Industries: Key Concepts and Issues
2) Genre and Popular Culture
3) Legal Issues in the Digital Age
4) Research Methods for the Creative Industries

Doakan CikYam dapat melepasi segala rintangan ketika sambung belajar ni ya.