SALAM PERKENALAN
“Jika menulis membuat aku bahagia, aku akan menulis walaupun ketika sedih. Jika menulis membawa kegembiraan kepada orang lain, aku akan terus menulis selamanya.”
SAYA PENULIS PROFESIONAL & JURULATIH PENULISAN
Kalau ditanya, bagaimana boleh timbul minat untuk jadi penulis? Entah, saya pun tiada jawapan yang konkrit. Sedangkan diri sejak dahulu dimomokkan dengan kata-kata begini;
Penulis tak boleh cari makan.
Mana ada penulis yang kaya.
Penulis hanya hidup dalam dunianya sendiri.
Namun, saya telah membuktikan bahawa dengan kemahiran menulis, seseorang itu boleh mempunyai pendapatan yang selesa demi kelangsungan hidup.
Nama saya Maryam Elyas, tetapi ramai mengenali saya sebagai CikYam. Saya berasal dari Johor dan merupakan seorang penulis profesional. Saya bermula sebagai wartawan pada tahun 2004. Saya mencurahkan jiwa dan raga dalam dunia penulisan sehinggalah pada tahun 2020, apabila saya diberhentikan kerja akibat pengurangan kos semasa pandemik COVID-19.
Pengalaman 16 Tahun sebagai Wartawan
Sepanjang kerjaya, saya pernah bertugas di majalah seperti Jelita, MIDI, Mingguan Wanita, dan RASA. Saya juga pernah menjadi sebahagian daripada pasukan editorial akhbar Sinar Harian dan menulis untuk platform digital seperti Bercinta Selepas Nikah dan Vanila Kismis.
Selain itu, saya juga terlibat dalam penerbitan buku, termasuk buku kanak-kanak siri 1 Hari 1 Cerita. Buku saya ini pernah menerima anugerah Buku Kanak-Kanak Pilihan dalam majlis anjuran Grup Buku Karangkraf pada 2010.
Pada tahun 2007, saya dianugerahkan Penulis Rencana Terbaik (Bahasa Melayu) dalam Anugerah Kewartawanan Malaysia oleh Malaysia Press Institute, satu detik yang saya kenang sebagai antara pencapaian tertinggi dalam karier saya.
Melangkah Sebagai Penulis Upahan
Selepas diberhentikan kerja, saya tidak pernah berfikir untuk meninggalkan dunia penulisan. Atas desakan hidup sebagai isteri kepada suami OKU, saya tetap perlu mendapatkan wang demi kelangsungan hidup.
Perjuangan untuk menyuap nasi kepada seisi keluarga menjadikan saya aktif sebagai penulis upahan. Alhamdulillah, segalanya berbaloi apabila saya mempu menyara keluarga dan mendirikan sebuah rumah sederhana di kampung hasil dengan duit upah menulis.
Ternyata, tanpa bekerja tetap, saya dapat menampung kehidupan dengan menulis bagi pihak orang lain. Dunia penulis upahan begitu dekat dengan diri saya. Menulis untuk orang lain memberikan saya peluang untuk menggunakan kreativiti saya, khususnya dalam menghasilkan cerita yang menyentuh hati dan memberikan impak kepada pembaca.
Modachi, Peluang Lebarkan Sayap
Pada Februari 2023, saya dijemput oleh CEO Modachi Sdn Bhd untuk menyertai syarikat ini sebagai Pengurus Kanan Kandungan Strategik. Saya bertanggungjawab memimpin pasukan untuk merangka strategi kandungan bagi pelbagai pelanggan, termasuk perniagaan kecil, agensi kerajaan dan syarikat korporat.
Jurulatih Penulisan Bertauliah
Dalam masa yang sama, saya turut melebarkan saya sebagai jurulatih penulisan. Saya juga seorang jurulatih bertauliah yang diiktiraf oleh HRD Corporation dengan ID 15949. Saya sering diundang untuk mengadakan bengkel penulisan kepada pelbagai pihak, termasuk pelajar universiti, kakitangan kerajaan, dan individu persendirian.
Antara topik kursus atau bengkel penulisan saya adalah:
- Penulisan Upahan
- Penulisan Kreatif
- Penulisan Berita dan Rencana
- Copywriting dan Storytelling
- Penerbitan Coffee Table Book
- Penulisan Anekdot
Setakat tahun 2024, saya pernah memberi ceramah di:
- Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya – Penulisan Rencana Berstrategi
- Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur – Penulisan Anekdot
- Pusat Perhubungan Alumni UPM, Serdang – Penulisan Rencana dan Berita
- Kolej 10 UPM, Serdang – Penulisan Rencana dan Berita
- Institut Penyiaran dan Penerbitan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri -Penerbitan Coffee Table Book
- Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya – Penulisan Kreatif
- HQ Tupperware Malaysia, Subang – Copywriting Storytelling
Selain itu, saya juga banyak memberikan kelas secara dalam talian.
Menulis Buku Ke-27
Pada Oktober 2023, saya berjaya menulis buku ke-27 saya bertajuk PROWRITER: Jalan Pintas Menjadi Penulis Profesional. Terima kasih kepada Modachi kerana menerbitkan buku saya ini.
Buku ini ditulis khas untuk mereka yang bercita-cita menjadi penulis profesional, termasuk sebagai penulis upahan. Saya masukkan segala ilmu yang saya miliki melalui pendidikan akademik ketika di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan juga pengalaman saya sebagai wartawan serta penulis upahan.
Alhamdulillah buku ini mendapat sambutan di kementerian dan juga penulis yang ada di tanah air. Buku ini juga berpeluang dijual di Pesta Buku Selangor dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2024.
Semangat Demi Keluarga
Saya adalah seorang isteri dan ibu kepada dua anak. Sebagai penyara utama keluarga, saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk mereka. Menulis bukan sekadar pekerjaan bagi saya, ia adalah sebuah perjuangan, sebuah semangat dan sebuah kecintaan yang tidak akan pudar.
Menulislah, kerana apa yang kita tulis boleh merobah kehidupan. Setiap kata yang ditulis memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada orang di sekeliling kita malah kepada sesiapa sahaja yang membacanya.