10 Sebab GIATMARA Perlu Buat Kursus Kemahiran Penulis Upahan atau Ghost Writer

Wow? Serius ke ni? Ada kursus penulis upahan atau ghost writer di GIATMARA? Best kan kalau ada kursus ni di GIATMARA. CikYam percaya, mesti ramai yang nak join kursus ni.

CikYam tahu GIATMARA fokus kepada kemahiran dan kebolehan teknikal dalam bidang hardtrade atau softtrade. Manakala penulisan ni lebih kepada softskill. Ada beza tapi bezanya senipis kulit bawang sebab semuanya berkaitan dengan kemahiran.

GIATMARA telah ada kursus Computer & Networking Technology, Elektrikal, Elektrik dan Mekatronik, Fabrik, Hairdressing and Cosmetology, Hospitaliti, Kulinari, Mekanikal, Pembuatan, Pengangkutan, Senibina dan Creative Media.

Jadi, apa salahnya jika diadakan kursus Kemahiran Penulis Upahan. Kan?

Kenapa GIATMARA perlu adakan kursus Kemahiran Penulis Upahan atau Ghost Writer?

Jom CikYam berikan 10 sebab kenapa GIATMARA perlu buat kursus secara formal untuk penulis upahan atau ghost writer.

1) Belum ada lagi kursus formal untuk golongan penulis upahan. Kalau ada pun, hanyalah bengkel selama beberapa jam sahaja. Hal ini tidak mencukupi untuk memandaikan individu yang nak serius cari duit sebagai ghost writer. So, mereka ni pandai-pandai sendiri berbekalkan ilmu beberapa jam tu dalam dunia penulis upahan. Hasilnya, ramai yang langgar dinding, berbulan-bulan tiada klien disebabkan kurang kemahiran. Tidak kurang juga yang ditipu misalnya kerja dah siap, upah tidak dibayar. Yalah, tiada ilmu.

2) Kurangnya pendedahan mengenai kemahiran berteknologi tinggi. Masih lagi menyimpan hasil kerja dalam drive C, tidak menggunakan kemudahan teknologi yang direka untuk memudahkan dan mencepatkan kerja. Misalnya penggunaan AI untuk menjana idea penulisan.

3) Persepsi perlu diubah. Ramai menyangka kerja penulis upahan itu hanyalah menulis di media sosial. Padahal, kerja penulis upahan itu sangat luas. Pelbagai jenis konten diperlukan dalam dunia penyediaan konten. Sekadar sebut beberapa jenis. Contoh: ayat iklan, rencana, berita, skrip video, skrip drama, puisi, anekdot, manuskrip buku, manuskrip ebook, profil syarikat dan laporan tahunan syarikat. Banyak lagi! Justeru, GIATMARA boleh bantu masyarakat mengubah tanggapan sebegini.

4) GIATMARA mengeluarkan sijil kepada pelajar selepas tamat belajar. Hal ini memberi semangat yang bukan sedikit kepada golongan penulis upahan kerana ada pengiktirafan. Jadi, kami boleh jadi penulis upahan yang dipercayai dan hasil kerja kami jadi lebih berkualiti.

5) Ala, boleh je kan ambil kursus menulis di UiTM ke, UKM ke, UM ke atau UPM ke. Di sana ada fakulti bahasa, sastera. Oh, kursus penulis upahan adalah kursus yang lebih kepada kemahiran. Ini kerana penulis upahan menyediakan konten yang diperlukan dalam industri kreatif dan fokus kami untuk menjadi usahawan dengan adanya upah. Ini berbeza dengan fakulti yang disebutkan di atas. Selain menulis konten, penulis upahan belajar macam mana nak berurusan dengan klien dan mendapatkan upah. Inilah softskill yang perlu ada.

6) GIATMARA menawarkan kursus dengan yuran minimum dan ada elaun. Justeru hal ini amat memberi kelegaan kepada mereka yang ingin mendapatkan ilmu kemahiran menulis dan pengurusan dalam kerjaya seorang penulis upahan. Bengkel yang ada di pasaran sekarang harganya mahal dan bukan semua orang berkemampuan untuk menyertainya.

7) Tempoh pembelajaran di GIATMARA amat signifikan. Misalnya enam bulan. Justeru, peserta mempunyai tempoh yang cukup untuk mendalami bidang penulis upahan dengan matang. Tidak mustahil kursus belum habis, namun ada penulis upahan yang sudah mendapat klien.

8) Kursus Penulis Upahan sangat relevan dengan MISI dan OBJEKTIF GIATMARA itu sendiri. Kursus ini boleh mewujudkan tenaga mahir dan bakal usahawan yang berdaya saing. Malah boleh bantu basmi kemiskinan. Buktinya CikYam sendiri jana pendapatan sebagai penulis upahan selepas hilang pekerjaan sebagai wartawan disebabkan pandemik tahun 2021 yang lepas.

9) GIATMARA mempunyai premis di setiap negeri. Hal ini memudahkan orang ramai untuk hadir belajar walau di mana sahaja mereka berada. Namun, untuk permulaan, GIATMARA boleh buka kursus ini di lokasi yang menjadi tumpuan ramai misalnya Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru.

10) Ramai ingin sertai kursus ini. Ramai yang ingin menjadi penulis upahan tetapi tidak tahu cara betul untuk bermula. CikYam sendiri selalu ditanya bila akan adakan lagi sesi atau kelas penulis upahan. Justeru, CikYam percaya kalau GIATMARA adakan kursus ini, pasti mendapat sambutan hangat.

Percayalah, pada hari ini kemahiran sebagai penulis upahan mampu memberikan pendapatan dan sekali gus mewujudkan lebih ramai usahawan dengan hanya bekerja dari rumah. Ilmu ini sangat mahal namun sayangnya belum ada institusi yang mengiktirafnya sebagai satu kemahiran untuk diangkat dengan lebih tinggi.

Kesimpulannya, CikYam yakin seyakin-yakinya bahawa hari ini adalah waktu terbaik untuk GIATMARA membuka peluang kepada ramai individu di luar sana yang mahukan ilmu sebagai penulis upahan. Skill atau kemahiran sebagai penulis upahan bukan setakat menulis tetapi lebih daripada itu.

Ada banyak institusi pengajian tinggi menyediakan tempat belajar bagi kursus bahasa dan penulisan. Namun hanya GIATMARA satu-satunya yang menyediakan platform untuk seseorang itu menggali ilmu kemahiran penulis upahan!

CikYam sedia bekerjasama dengan GIATMARA untuk merealisasikan kursus ini di GIATMARA yang menyediakan ruang pembelajaran kemahiran berprestij. Nak hubungi CikYam? Klik jer SINI