Tentang Cik Yam

Mantan wartawan arus perdana. Kini aktif sebagai penulis upahan dan jurulatih penulisan. Perlukan khidmat penulisan atau jurulatih penulisan? Jom kita bekerjasama!

Sesi Rundingan: Penulis Upahan Selalu Buat 3 Kesilapan Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn

Sesi berunding, tawar menawar atau negosiasi. Ini adalah perkataan yang berbeza tetapi membawa maksud sama. Sesi ini adalah masa yang paling penting bagi memastikan penulis upahan itu mendapat job atau gagal mendapatkan job tersebut.

Walaupun sesi ini merupakan hal yang sangat penting dalam kelangsungan kerjaya penulis upahan, namun ramai antara kita yang melakukan kesilapan besar sehingga menyebabkan kita kehilangan peluang untuk mendapatkan job yang ditawarkan.

CikYam mengakui akan kesilapan-kesilapan ini kerana pernah melaluinya. Ya, CikYam sendiri pernah gagal mendapatkan job yang ditawarkan kerana melakukan salah satu kesilapan besar yang disenaraikan dalam posting blog kali ini.

Jom kita lihat apa dia tiga kesilapan besar yang boleh terjadi ketika sesi berunding atau tawar-menawar antara penulis upahan dengan bakal pelanggan.

1) TIDAK FAHAM PELANGGAN

Tidak kenal siapa sasaran pelanggan, tidak ambil tahu masalah pelanggan dan tidak peka dengan keperluan masa kini pelanggan adalah isu besar bagi seorang penulis upahan.

Perasan tak, kadang-kadang seorang penulis itu terlalu mempromosikan kemahiran diri sendiri tapi terlupa untuk ambil tahu keperluan pelanggan. Seorang penulis upahan perlu mengambil tahu masalah pelanggan supaya kehadirannya menjadi solusi untuk membantu menyelesaikan masalah pelanggan.

Sebagai contoh, anda tahu ramai orang sekeliling bermasalah untuk menghasilkan strategi penulisan di media sosial. Anda pula mahir dengan penulisan media sosial. Jadi, cuba fahami apa masalah pelanggan dari segi penulisan di media sosial dan bantu mereka selesaikan masalah ini.

Pertama, anda cuba bantu melalui servis penulisan yang bermaksud anda tuliskan kandungan media sosial untuk mereka. Kedua, selain menulis, anda bantu tunjuk ajar kepada mereka cara penulisan di media sosial dengan betul sehingga mereka boleh menghasilkan penulisan sendiri.

Ketika sesi rundingan, anda perlu kelihatan betul-betul mahir dengan servis yang ingin anda tawarkan. Jika anda asyik tersalah memberikan informasi ketika menjawab soalan mereka, pelanggan mulai ragu-ragu dengan kebolehan anda. Ini kerana mereka mulai rasa yang anda tidak faham apa mereka mahukan.

2) LETAK HARGA TIDAK MUNASABAH

Faktor harga juga memainkan peranan yang sangat penting. Harga terlalu mahal, pelanggan tidak mampu. Harga terlalu murah, pelanggan pasti akan meragui kualiti kerja anda.

Solusinya, anda perlu memahami pasaran kerja penulis upahan. Ambil tahu mengenai harga pasaran yang terkini. Tawarkan harga yang berada dalam lingkungan harga pasaran tersebut.

3) TIDAK YAKIN DENGAN DIRI SENDIRI

Ketika sesi rundingan, keyakinan diri adalah kunci kepada peluang yang luas untuk mendapatkan job tersebut. Lebih kurang sama dengan sesi temu duga kerja. Kalau kita tidak yakin menjawab soalan daripada panel temu duga, mesti kita susah untuk dapat pekerjaan yang kita mohon, kan?

Jadi, ketika sesi rundingan, tonjolkan keyakinan diri anda. Anda mesti mampu menjawab apa sahaja soalan daripada bakal pelanggan sehingga mereka yakin untuk membayar sejumlah wang bagi mendapatkan servis penulisan anda.

Ramai penulis upahan yang gagal meyakinkan pelanggan mengenai nilai kerna mereka kerana kurang keyakinan diri. Akhirnya mereka teragak-agak sehingga tidak mampu mempertahankan kadar bayaran yang dicadangkan.

Kesimpulannya, bersiap sedia dengan segala maklumat supaya anda dapat melalui sesi rundingan dengan lebih baik. Elakkan daripada melakukan tiga kesilapan besar ini dan CikYam doakan kita semua dimudahkan urusan untuk mendapat lebih banyak job yang berkualiti.

Anda mahu khidmat penulis upahan profesional? Mungkin anda juga perlukan khidmat penceramah penulisan? Hubungi CikYam ya.

Read More

Scroll to Top