Ramai sebenarnya yang masih lagi tidak percaya bahawa menulis boleh menjadi sumber pendapatan. Masyarakat lebih percaya kepada kemahiran lain untuk buat duit. Misalnya menjahit, menggunting rambut, memasak atau membaiki kenderaan.
Menulis juga adalah satu kemahiran yang boleh diasah untuk menjadi sumber kewangan sama sahaja seperti kemahiran lain. Duit yang diperoleh melalui menulis adalah upah selepas siap kerja-kerja menulis. Urus niaga ini boleh dilakukan secara profesional. Maksud CikYam, bayaran berbentuk deposit dan bayaran penuh selepas siap kerja penulisan.
Bercakap daripada pengalaman sendiri, menulis memang boleh buat duit asalkan kita tahu caranya. CikYam mula menjadikan kerja menulis sebagai sumber pendapatan selepas CikYam hilang pekerjaan sebagai wartawan. Selama dua tahun, CikYam menyara kehidupan menggunakan duit upah menulis selepas tiada lagi gaji kerja wartawan.
Bagaimana Buat Duit dengan Menulis?

Anda boleh memilih bermacam-macam cara untuk buat duit dengan menulis.
Cara 1:
Tulis novel, kemudian hantar ke rumah penerbitan untuk diterbitkan. Duit hasil jualan novel boleh anda peroleh melalui bayaran royalti. Selain itu, anda boleh juga jual sendiri novel anda untuk menikmati lebih banyak duit.
Cara 2:
Hantar rencana kepada majalah. Anda boleh menikmati bayaran saguhati, biasanya RM200 untuk satu rencana yang ditulis sepanjang 700 hingga 1,000 patah perkataan.
Cara 3:
Jadi penulis upahan. Anda tawarkan khidmat menulis kepada mereka yang memerlukan konten. Ada pelbagai konten boleh ditulis misalnya rencana, copywriting, laporan, skrip video atau manuskrip buku.
Mana Satu Pilihan Anda?
Daripada tiga cara di atas, CikYam pilih buat duit melalui cara 3. Kenapa? Ini kerana prosesnya lebih mudah dan tidak lama menunggu duit masuk. Jika memilih cara 1 iaitu menulis novel, tempoh penulisan agak lama dan tempoh untuk menunggu jawapan daripada rumah penerbitan sama ada novel kita diterima atau ditolak jugak mengambil masa berbulan-bulan lamanya.
Justeru, CikYam memilih untuk menjadi penulis upahan. CikYam tawarkan servis penulisan kepada mereka yang memerlukan konten. Dari sini, CikYam dapatkan daripada pelanggan jenis konten yang dimahukan.
Selepas itu, CikYam siapkan sebut harga. Apabila pelanggan bersetuju, maka bayaran deposit atau bayaran penuh akan dibuat. CikYam akan siapkan konten yang dimahukan ikut kepada deadline yang telah dipersetujui.
Jenis konten yang CikYam tawarkan adalah:
- Rencana
- Copywriting
- Skrip video
- Manuskrip buku
Inilah yang CikYam lakukan sejak hilang pekerjaan sebagai wartawan pada tahun 2020. Dengan duit upah menulis inilah CikYam menyara seisi keluarga. CikYam dapat bayar komitmen bulanan misalnya hutang pinjaman perumahan, pinjaman kereta, bil wifi, elektrik dan semua segala mak nenek bil.
Masih ada tanggapan bahawa menulis bukan kemahiran yang perlu diberi kedudukan sama seperti kemahiran lain? CikYam dapat rasakan bahawa bengkel menulis perlu ada dalam senarai aktiviti di Pusat Komuniti. Selain golongan suri rumah diberikan peluang hadiri bengkel masak, bengkel roti, bengkel jahit, bengkel mengait, bengkel buat kraf tangan, mereka juga boleh diajarkan teknik menulis dan teknik mencari pelanggan untuk dapatkan upah menulis.
Moga ada sinar untuk CikYam menjalankan modul penulis upahan atau modul buat duit dengan menulis kepada lebih ramai suri rumah. Sebab apa? Sebab CikYam sendiri memulakan kerjaya penulis upahan selepas hilang pekerjaan dan jadi suri rumah sepenuh masa.
Jika ada mana-mana pusat komuniti ingin CikYam hadir ke tempat anda untuk mengadakan sesi latihan atau bengkel mengenai cara suri rumah tambah income melalui menulis dari rumah, hantarkan WhatsApp anda kepada CikYam ya. Klik je SINI.