Ini kisah benar. CikYam ingin ceritakan kisah benar yang berlaku dalam hidup CikYam sendiri. Bukan cerita dongeng, bukan cerita mitos atau cerita khayalan. Sebaliknya kisah yang benar-benar terjadi. Kisah mengenai suri rumah berjaya bina pendapatan sebagai penulis upahan.
Kisah ini pernah dimuatkan dalam portal berita Kita Reporters. Kalau nak baca boleh klik link (Kisah CikYam dalam portal Kita Reporters).
CikYam juga pernah ditemu bual dalam Radio Zayan. Nak dengar? Boleh klik temu bual (CikYam bersama Radio Zayan).
Posting blog kali ini agak panjang. Mungkin tiada makna dibaca oleh anda yang tidak memerlukan kisah benar seorang wartawan yang hilang pekerjaan. Jika anda ingin mendapatkan kisah perjuangan seorang isteri dan ibu yang perlu menyara seisi keluarga, namun pendapatan bulannya hilang tiba-tiba, kisah ini mungkin berbaloi untuk anda.
Apa jadi selepas dapat berita hilang pekerjaan?
CikYam ingat lagi masa tu penghujung tahun 2020. Masa tu, biasanya apabila hujung tahun, kita sedang sibuk menyiarkan majalah bagi awal tahun. Sebagai wartawan memang selalunya kita bekerja dua bulan terkehadapan. Sebagai contoh, kalau bulan November, kita dah buat majalah untuk bulan Januari.
Dapat e-mel, dipanggil untuk satu pertemuan dengan CEO Ideaktiv di bilik mesyuarat. Ideaktiv adalah syarikat gabungan antara Karangkraf dengan ASTRO. Kalau korang perasan, banyak konten majalah Karangkraf yang disiarkan di ASTRO. Contohnya Hero Remaja, Dewi Remaja, Impiana dan rancangan masak-masak macam Rasa Nostalgia Ramadan. Itu adalah produk Karangkraf yang diTVkan. Hahaha diTVkan. Bolehlah ya guna perkataan macam ni. CikYam bekerja di sinilah. Menyiapkan konten majalah untuk diTVkan dan juga untuk dimajalahkan.
Dipendekkan cerita, apabila dapat berita hilang pekerjaan, CikYam terdiam. Suara CEO semakin lama semakin jauh daripada pendengaran. Yang semakin jelas di telinga adalah suara anak. “Mama, bestnya kakak nak sekolah tahun depan.” Dengar juga suara anak, “Mama, bila nak beli baju sekolah kakak?” Ya, tahun 2021, anak sulung CikYam akan mula masuk sekolah.
“Anak nak masuk sekolah, dan aku pulak tiada pekerjaan?” bisik hati CikYam.
CikYam tak dapat bayang apa akan berlaku apabila CikYam sebagai pencari duit utama keluarga atau breadwinner tiba-tiba tiada pendapatan. Nak harapkan suami yang cacat pemegang kad OKU daripada JKM tu? Memang tidak logik. Sejak berkahwin dengan suami, CikYam memang telah sedia maklum bahawa suami CikYam memang tidak berkemampuan. CikYam ikhlas terima dia sebagai suami tanpa mengharapkan CikYam akan ditanggung olehnya.
Bersama CikYam, ada 10 pagi pekerja Ideaktif yang dibuang pekerjaan atas alasan pengecilan kos operasi syarikat disebabkan pandemik. CikYam lihat seorang demi seorang yang sama-sama dibuang kerja. Mereka nampak okay saja, tapi kenapa aku yang terlebih emosi? Adakah aku memang cepat emosi? Aku ni emosional ke?
Selepas CEO selesai menyampaikan berita yang bagaikan halilintar pada seketul CikYam ini, CikYam masih duduk dalam bilik meyuarat tersebut. Air mata tak henti mengalir. Sedih? CikYam bukan sedih kerana hilang pekerjaan tetapi lebih kepada takut. Ya, aku takut. Aku takut apabila tanpa gaji, apa anak aku nak makan? Aku nak sara hidup anak aku dengan duit apa? Memang sejak tahun 2004, duit bekerja sebagai wartawan inilah yang CikYam guna untuk menyara hidup. Sejak bujang, sampailah anak dua orang.
Bilik mesyuarat yang sejuk dengan hawa dingin, aku rasakan panas sehingga menyebabkan aku berpeluh-peluh. Tiada lagi rasa malu untuk aku terus menangis. Aku merayu untuk serap aku sebagai kakitangan sambilan, namun hampa. Ketika itu aku sedar betapa betulnya kata-kata bahawa kita boleh sayang pekerjaan kita, kita boleh sayang majikan kita, namun percayalah apabila diri kita tidak lagi diperlukan, tiada siapa yang akan sayang kita. Kesetiaan aku bekerja di situ tiada nilainya. Sedih, kan?
Sumpah, ketika itu, aku rasa dunia aku gelap. Balik ke rumah, aku hampir kemalangan kerana memandu dengan emosi yang sangat tidak stabil. Aku kumpul kekuatan untuk memaklumkan kepada suami mengenai berita buruk ini. Aku hilang kata-kata untuk maklumkan kepada mama dan abah aku.
Selesai pertemuan dengan CEO yang memaklumkan kami kumpulan terakhir yang diberi notis hilang pekerjaan, staff yang lain masih boleh tersenyum dan berborak mengenai memo yang disampaikan. Mereka tak rasa apa-apa kerana mereka ada suami yang boleh menanggung kehidupan selepas mereka tiada lagi pendapatan. Tapi aku? Aku bukan begitu. Akulah isteri, akulah ibu yang kena bekerja untuk menyara hidup seisi keluarga. Allahu…
Sampai sekarang, jika ada kesempatan, ingin aku bertemu dengan Dato Hussamuddin. Ingin aku ucapkan terima kasih kepada beliau kerana memberi peluang aku bekerja di syarikatnya. Ingin aku katakan pada beliau bahawa aku sangat terhutang budi kepada beliau. Di syarikat inilah aku menimba pengalaman yang sangat mahal dan membentuk aku menjadi seorang penulis sebagai mana aku sekarang. Namun, sudikah beliau berjumpa walau seminit dengan aku? Aku bukan siapa-siapa.
Berkurung dalam bilik
Ketakutan akibat hilang pekerjaan sangat mengganggu fikiran CikYam. Persoalan seperti apa aku nak buat untuk dapatkan duit? Jual nasi lemak, aku tak pandai masak nasi lemak. Nak berniaga burger sama-sama dengan suami, kos berniaga burger sangat tinggi, memang CikYam tak nak ambil risiko. Apatah lagi, suami bukannya ada gerai burger.
Dua hari CikYam berkurung dalam bilik. Menangis, meratap dan mengenang nasib. Anak CikYam yang kecil, asyik ketuk pintu bilik kerana nak bermanja dengan CikYam. Terdengar suara suami dari luar kata, “Adik jangan kacau mama ya, mama nak rehat.” Ketika itu si adik baru berusia tiga tahun.
Di facebook pun, CikYam tak menulis seperti biasa. Facebook CikYam sunyi sepi.
Sampailah satu hari, sambil merenung kipas yang berpusing di siling, CikYam terfikir, kenapa aku tak terus menulis? Aku kan sudah menulis bertahun-tahun lamanya. Pasti aku boleh bantu orang yang ada halangan untuk menulis.
Kembali aktif menulis di facebook
Perkara pertama yang CikYam buat selepas mendapat idea untuk menjadi penulis upahan adalah CikYam perlu tahu perkara berikut:
- Penulisan jenis apa yang CikYam nak tawarkan?
- Siapa sasaran pelanggan yang akan upah CikYam menulis?
- Berapa harga yang CikYam nak kenakan sebagai upah?
Persoalannya, di mana CikYam nak dapatkan semua ini? Di mana sasaran pelanggan CikYam berada? Tanpa orang kenal siapa CikYam, CikYam takkan ke mana-mana. CikYam tawarkan servis menulis sudah semestinya CikYam perlu buat orang kenal CikYam. Sama sahaja macam orang berniaga produk kuih raya misalnya, usahawan itu perlu mempromosikan kuih raya yang dia jual.
Akhirnya CikYam kembali aktif menulis di facebook untuk menjenamakan diri CikYam sebagai penulis upahan. Pendekatan yang CikYam gunakan adalah kaedah penulisan storytelling. CikYam hanya bercerita mengenai pengalaman dibuang kerja, anak yang baru nak masuk sekolah, suami OKU yang tidak berdaya untuk bekerja dan menyara kami anak beranak. Alhamdulillah, penulisan CikYam mendapat banyak respons dan sekali gus follower CikYam semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Membina website
Tidak mengharapkan media sosial facebook semata-mata, CikYam juga mengeluarkan sedikit bajet untuk membina website. Konsep yang CikYam pilih pada ketika itu iaitu tahun 2021 adalah konsep santai yang merujuk kepada seorang suri rumah yang bekerja sebagai penulis upahan.
Daripada website ini juga, CikYam mendapat banyak pelanggan. Pelanggan paling besar yang CikYam dapat pada ketika itu ialah Jabatan Perdana Menteri yang mempelawa CikYam untuk memberikan mereka Kursus Penulisan Rencana Berstrategi. Selain itu, ada juga pelanggan yang membuat bisnes sebagai ejen produk bernilai tinggi yang ingin mendapatkan khidmat CikYam sebagai penulis upahan bagi mereka.
Facebook dan website adalah lubuk pelanggan bagi CikYam.
Mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Ikut kepada posting facebook, CikYam daftarkan nama CikYam Creative Empire di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Januari 2021. Nombor pendaftaran adalah SSM SA0558364-V. Kenapa perlu daftar? Tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai langkah menunjukkan bahawa kita ini seorang penulis upahan yang ada kredibiliti. Bukan scammer.
Promosi servis menulis
CikYam tidak tunggu sempurna untuk aktif sebagai penulis upahan. CikYam bukan buat semuanya sekali harung tapi sedikit demi sedikit. Kenapa ada kekuatan nak buat semua ni sedikit demi sedikit tetapi konsisten? Ini semua kerana CikYam tidak boleh meletakkan harapan pada orang lain selain Allah Taala.
CikYam terjerit-jerit di media sosial, menawarkan khidmat menulis kepada yang memerlukan. CikYam tunggu pelanggan datang kepada CikYam. Sebaliknya CikYam yang pergi kepada mereka. Malu? Tolak tepi. Kalau malu, duit pun malu nak datang. CikYam kena tunjukkan kesungguhan. CikYam kena buat, buat, buat dan buat.
Kalau bukan CikYam yang cari duit, CikYam nak harapkan siapa?
Ya, sebagai seorang yang mindset makan gaji, CikYam cari kerja. Mohon kerja di sana sini, pergi interview sana sini, tapi semuanya gagal. Ada yang gagal sebelum interview lagi. Faktor usia. CikYam hilang pekerjaan pada usia 43 tahun. Siapa nak ambil pekerja yang sudah berusia senja? Jadi, CikYam terpaksa menggunakan pengalaman menulis yang ada secara total untuk dapatkan upah dan guna duit upah itu untuk sara hidup.
CikYam ni, orang yang banyak hutang tau. Dua bulan sebelum dapat notis hilang pekerjaan, CikYama baru keluar kereta baru sebab kereta lama CikYam rosak teruk. Beberapa kali tersadai di Lebuhraya Persekutuan. Pernah juga tersadai di tepi hutan jalan Pagoh malam-malam buta. Jadi, CikYam menanggung hutang yang banyak. Secara kasar, komitmen bulanan wajib ada untuk bayar kepada bank dan juga komitmen lain adalah RM3,500. Itu belum masuk duit belanja makan, duit jajan, duit isi minyak kereta, duit ubat-ubatan dan juga duit beli kopi kegemaran CikYam.
Jadi, bolehkah anda semua bayangkan kalau CikYam masih malu, masih teragak-agak dan masih tak buat kerja penulis upahan ni secara bersungguh-sungguh? Kalau CikYam ada suami yang boleh menyediakan poket yang penuh berisi wang, CikYam rasa CikYam takkan buat semua ni. Semua ni demi anak! Apa anak-anak aku nak makan?
Satu saja kita kena fikir. Tanpa pelanggan, kita tiada upah. Tiada upah, maka kita takkan ada duit. Nak tak nak, kita kena pergi cari pelanggan dan tawarkan servis menulis yang kita ada. Eh, nak tahu tak, CikYam masuk dari kedai ke kedai untuk offer servis CikYam tau. Bukan setakat cari di media sosial saja. Kena pergi kepada mereka. Offer servis kita. Kita kena sedar yang kita bukan penulis upahan level kayangan ketika itu. Kita masih baru, belum ada orang kenal kita.
Nantilah, tunggu sudah semakin stabil, sudah semakin hebat, ketika itu barulah kita boleh anggap diri kita level kayangan.
Kita boleh kata, “Saya boleh pilih dengan siapa saya hendak bekerjasama.”
Ya, CikYam pernah dengar ayat ini daripada seorang penulis upahan yang meletakkan dirinya sebagai penulis upahan gred A atau level kayangan. Tapi, CikYam, sampai sekarang, telah masuk tahun 2025, CikYam masih CikYam yang dulu. Masih penulis upahan level bilis yang sudi bekerjasama dengan sesiapa pun. Walaupun job hanya menulis konten media sosial dengan harga RM45 satu konten, CikYam tetap terima.
Raih kejayaan
CikYam jenis orang yang realistik. CikYam raikaan kejayaan diri sendiri walaupun kejayaan itu sebesar kuman. Antara kejayaan CikYam adalah Cikyam dapat upah RM10,000 dalam masa tiga bulan pertama jadi ghost writer. Ada CikYam catat dalam blog ni. (Kisah income RM10,000)
Jadi, kita raikanlah ya kejaya-kejayaan kita walaupun kecil.
Setakat hari ini, CikYam telah bekerjasama dengan banyak pihak. Organisasi kerajaan, orang perseorangan, syarikat korporat termasuk bank dan juga pelbagai lagi. Kandungan yang CikYam tulis termasuklah rencana, siaran akhbar, media buy, skrip video, manuskrip buku kisah hidup, manuskrip buku kanak-kanak dan hantaran media sosial. Banyak sangat. Terlalu banyak sampai ada kalanya tidak menang tangan.
CikYam gembira kerana daripada kemahiran yang Allah pinjamkan inilah CikYam ‘bernyawa’ kembali selepas hilang pekerjaan. Malah kini Allah lorongkan satu lagi bidang untuk CikYam ceburi iaitu sebagai jurulatih penulisan dan CikYam ialah seorang jurulatih bertauliah.
Laluan ini memang tidak mudah. Namun jika ini yang telah ditetapkan, CikYam akan terus usahakan demi kehidupan yang lebih selesa untuk seisi keluarga. Reda suami, CikYam harapkan. Kebahagiaan diri sendiri dan anak-anak, CikYam idamkan. Terima kasih Allah.
Tampil dengan buku PROWRITER
Sejak penghujung tahun 2020 CikYam menjadi penulis upahan, pada Oktober 2023, CikYam tampil dengan buku PROWRITER: Jalan Pintas Jadi Penulis Profesional. Buku ini diterbitkan oleh Modachi Sdn Bhd. Dijual pada harga RM70 satu naskhah. CikYam anggap, kelahiran buku ini adalah hadiah terindah ketika CikYam menyambut ulang tahun kelahiran usia 46 tahun.
Buku PROWRITER menjadi modul dalam banyak kelas yang CikYam anjurkan. Malah buku ini juga digunakan oleh kakitangan Kementerian Dalam Negeri dalam Kursus Penulisan Kreatif yang dianjurkan di Bangi pada tahun 2023 yang lalu. Boleh baca di sini mengenai kursus yang CikYam maksudkan.
Kalau anda nak tahu lanjut mengenai buku PROWRITER, boleh baca di sini (mengenai buku PROWRITER) dan di sini (buku panduan penulis upahan).
Kesimpulannya, bermula dengan hilang pekerjaan sebagai wartawan, CikYam bangkit berdamai dengan takdir. Siapa kita nak melawan takdir, kan? Lebih baik berdamai dan teruskan hidup dengan apa yang Allah telah bekalkan kepada kita. Allah uji sebab Allah sayang. Allah beri CikYam kemahiran menulis dan inilah yang CikYam gunakan sebagai laluan untuk Allah turunkan rezeki-Nya.