Kisah Tragis, 10 sekeluarga Positif Covid-19, Ibu Usia 63 Tahun Terpaksa Dikomakan

“Kami terpaksa letakkan ibu puan dalam keadaan koma. Keadaan ibu puan kritikal.”

Bagai halilintar suara lembut doktor yang merawat ibunya berbicara walaupun suara itu lembut kedengaran. Luluh hati apabila dapat tahu berita seperti itu. Tidak terbayang sayu di hati wanita bernama Hanis Aqilah Nasir ini. Tidak disangka sebegitu sekali kesan dijangkiti virus Covid-19.

Seseorang pesakit perlu diletakkan dalam keadaan koma untuk membantu menyelamatkan nyawa jika keadaan pesakit kritikal.

Semuanya berlaku pada Januari 2021. Bukan hanya ibunya tetapi mereka 10 orang dalam keluarga, semuanya dijangkiti virus durjana ini. Paling muda ialah bayi berusia 6 bulan. Selain berharap pada rawatan yang diberikan oleh pihak hospital, Hanis turut mengakui doa dipanjatkan tak pernah lekang daripada mulutnya.

SELALU BERKUNJUNG RUMAH ORANG TUA

Mengunjungi rumah ibu bapa memang menjadi kelaziman bagi keluarga Hanis. Dia, suami dan anak-anak memang setiap hari berkunjung ke rumah orang tua kerana jaraknya tidak jauh. Lagi pula kasihan ibu bapa yang sudah berusia bosan tanpa cucu menceriakan suasana.

“Saya seisi keluarga memang tiap hari pergi rumah mak ayah. Masak di sana, makan dengan mak ayah. Memang jadi rutin harian,” kata Hanis.

Semuanya bermula apabila adik ipar Hanis disahkan positif Covid-19 pada 2 Januari 2021. Apabila dapat tahu adik ipar positif, ibu dan ayah Hanis pergi jalani ujian saringan kerana ada berjumpa dengan adik ipar tersebut pada 27 Disember 2020. Kebetulan ketika itu ibunya turut ada tanda demam, sakit badan dan sakit kepala.

“Result ayah keluar pada 3 Januari. Ayah positif. Result emak keluar pada 4 Januari. Positif juga. Kami dah kira contact rapat jadi kami seisi keluarga kuarantin di rumah. Saya risau dengan tahap kesihatan emak yang makin merosot. Tapi kami tak dapat tolong sebab kami di rumah sendiri masa tu. Sampailah mak dan ayah dibawa naik ambulans. Ayah di Hospital Raub. Mak sepatutnya nak dibawa ke Hospital Kuantan tapi disebabkan banjir, mak diletakkan di Hospital Raub,” cerita Hanis yang mengatakan emaknya terus dikomakan sebab tahap oksigen emak sangat rendah.

Sayu tengok emak dan ayah naik ambulans ke hospital disebabkan positif Covid-19.

SUAMI PULA DISAHKAN POSITIF

Bermulalah detik huru-hara kehidupan Hanis apabila suaminya pula mengadu hilang deria baru diikuti dengan rasa loya. Badan suaminya semakin lemah kerana demam dan sakit badan. Sehinggalah mukanya jadi pucat lesi.

“Saya ketika itu sudah terlalu letih kerana menguruskan empat anak sendirian. Anak saya paling besar umur 9 tahun. Paling kecil bayi lagi usianya baru 6 bulan. Saya terpaksa angkut semua anak dan memandu hantar suami ke Hospital Bentong kerana suami dah teruk sangat masa tu. Ujian saringan dibuat memang sah positif. Suami terus dimasukkan ke wad,” cerita Hanis.

SERAH DIRI BUAT SARINGAN

Asalnya, Hanis mengambil langkah kuarantin di rumah sahaja. Namun perancangannya berubah apabila dia rasakan dirinya sangat tidak larat untuk melakukan sebarang aktiviti.

“Saya telefon Inspektor Kesihatan (IK) untuk memaklumkan yang saya dalam keadaan lemah. Beliau minta saya untuk datang ke bahagian kecemasan hospital untuk membuat saringan. Terkejut tengok suhu badan ketika itu 39.7 darjah selsius tapi saya tak rasa badan panas pun. Cuma lemah saja. Keputusan saringan belum keluar, jadi saya diminta balik ke rumah dan dibekalkan ubat,” cerita Hanis yang kemudian disahkan positif termasuklah empat anaknya.

Ketika dalam perjalanan ke hospital.

BUAH PINGGANG HAMPIR KERING

Tahap bahayanya Covid ini adalah sehingga mengganggu organ di dalam badan. Menurut Hanis, suaminya memang boleh dikatakan kritikal apabila doktor mengesahkan buah pinggang suaminya hampir kering disebabkan demam berpanjangan.

“Suhu badan ni kita kena periksa di tempat yang betul. Di dahi biasanya kurang tepat. Nak tepat, periksa suhu di telinga. Baru betul bacaan suhu badan tu,” Hanis berkongsi pengalaman.

IBU DIBAWA KE HKL SEBAB KRITIKAL

Satu yang lebih menyayat hati, Hanis mengatakan adalah apabila ibunya perlu dirujuk ke HKL kerana keadaan tidak stabil. Ibunya di hospital selama sebulan sebelum dibenarkan pulang. Manakala ahli keluarga yang lain lebih kurang dua minggu sahaja di wad. Keadaan kesihatan ibu yang merosot disebabkan tahap oksigen rendah sangat memberi kesan buruk pada keseluruhan sistem badan.

“Masa tu kalau boleh nak berada di sisi emak. Terus teringat peristiwa sebelum mak disahkan positif tu. Mak lapar minta adik masakkan makanan. Tapi masing-masing semua dah tak larat. Saya gagahkan diri pandu kereta ke pekan untuk beli makanan. Masa tu saya larat pergi kedai dekat je. Beli nasi ayam. Mak makan sebab lapar walau nampak tak berselera,” cerita Hanis.

Hanya doa Hanis mampu iringi disebabkan masing-masing ketika itu sedang bertarung dengan virus. Sebagai anak, dia doakan supaya ibunya kembali sihat. Dia tak mahu fikir yang bukan-bukan apatah lagi jika terpaksa hilang ibu tercinta.

Menurut Hanis, ketika di hospital dia dan ahli keluarga mengambil Vitamin C yang dibawa dari rumah. Tahap kesihatan seseorang memang berbeza begitu jugalah dengan tahap keupayaan melawan penyakit.

Anak dididik mengerjakan solat walau dalam apa keadaan sekalipun.

“Anak-anak memang tak nampak lemah. Kami orang dewasa yang teruk. Anak-anak bermain macam biasa sepanjang di hospital. Alhamdulillah anak yang berusia 6 bulan ketika itu pun bertambah sihat,” ujar Hanis yang bersyukur kerana mereka semua kembali sihat dan bebas daripada Covid-19.

Antara aktiviti anak-anak di hospital.

BADAN TAK MACAM DULU

Pun begitu, Hanis mengakui walaupun sudah bebas daripada penyakit ini, namun dia merasai perbezaan yang ketara. Badan tidak lagi seperti dulu kerana mudah penat.

“Pengalaman positif Covid-19 ni sangat banyak. Hubungan kami sekeluarga makin rapat. Kalau dulu anak-anak ajak pergi rumah atuk nenek mereka sebab nak bermain, sekarang mereka selalu tanya keadaan kesihatan atuk nenek mereka. Keadaan emak memang sangat terkesan. Dulu termometer di rumah jenis yang biasa, tapi kami sanggup labur beli yang mahal sikit sebab nak bacaan lebih tepat. Vitamin C memang sentiasa ada di rumah. Kami pasang penapis udara di rumah dan tambah diffuser essential oil. Semuanya demi nak tambah manfaat demi kesihatan,” cerita Hanis lagi.

Hanis turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana sepanjang melayan mereka sekeluarga di hospital, semuanya sangat berbudi bahasa. Malah Hanis turut mendapatkan berita mengenai kondisi emaknya di HKL melalui seorang kakitangan KKM yang sangat prihatin. Mereka faham kerisauan Hanis sebagai seorang anak. Semuanya diberitahu secara terperinci.

“Saya kagum dengan semangat frontliner. Kami semua dilayan dengan baik. Mereka buat kerja tanpa henti sampaikan Hanis terfikir masa bila mereka ni rehat? Memang mereka berkhidmat 24 jam tanpa jemu demi memastikan pesakit cepat sembuh. Sama-samalah kita bantu ringankan tugas frontliner dengan jaga SOP dan jaga kesihatan kita,” ujar Hanis menutup bicara.

EKSTRA: HUBUNGAN & USIA PESAKIT

HANIS – 36
Ayah – 65
Mak – 63
Suami – 38
Anak – 9
Anak – 7
Anak – 4
Anak – 6 bulan
Adik – 34
Adik – 31

Hanis akui pengalaman positif Covid-19 memberikan pengajaran yang bukan sedikit mengenai erti silaturahim dan kebergantungan kepada Allah SWT.

SUMBER: Hanis Aqilah Nasir