Ketika entri blog ini ditulis, CikYam telah pun melangkah ke Fasa 2 dalam Program Usahanita Digital 2025. Sejujurnya, CikYam tak pernah terfikir akan berada dalam kelompok usahawan hebat yang rata-ratanya menjalankan bisnes seperti makanan dan minuman, pusat kecantikan, takaful, fesyen dan pertanian. Dalam kalangan mereka, CikYam berseorangan sebagai usahawan dalam bidang penulisan.
Kenapa CikYam sertai program ini?
Semuanya kerana dunia digital adalah talian hayat CikYam selepas kehilangan pekerjaan. Tanpa pendapatan tetap, CikYam bangkit dengan menggunakan satu-satunya kemahiran yang ada iaitu menulis. Bermula sebagai penulis upahan, dunia digitallah yang membuka ruang untuk CikYam berhubung dengan klien, membina reputasi dan mendapatkan klien untuk upah menulis sebagai sumber rezeki.
CikYam percaya, ramai wanita di luar sana sebenarnya ada bakat dan minat menulis. Tapi mungkin mereka belum tahu bahawa menulis juga boleh jadi sumber pendapatan, jika kena dengan caranya. Inilah mesej yang ingin CikYam sampaikan kepada wanita lain terutamanya wanita di Selangor. Kehilangan pekerjaan bukan titik akhir, ia mungkin titik mula untuk kehidupan yang lebih bermakna.
Penulisan & dunia digital
Dalam dunia hari ini, penulis tak boleh lari daripada teknologi. Dua platform utama yang membantu kerjaya CikYam berkembang ialah:
1) Laman web
2) Media sosial
Melalui kedua-duanya, CikYam berjaya menarik klien, mempromosikan perkhidmatan dan membina komuniti penulis. Melalui laman web CikYam banyak dapat klien. Melalui media sosial juga CikYam membina personal branding untuk jadi penulis upahan yang trusted.
Atas dasar inilah, CikYam membangunkan PROWRITER, satu platform digital yang bakal melahirkan lebih ramai penulis bebas dan usahawan penulisan tanah air.
PROWRITER bukan sekadar ruang menulis tapi ini adalah landasan untuk menaikkan kredibiliti penulis, menghubungkan mereka dengan pembaca dan memberi peluang kepada penulis terbitkan karya mereka dalam bentuk fizikal atau digital.
Doakan perjalanan ini. CikYam ingin beri inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk bangkit melalui penulisan. Mulakan karya anda di PROWRITER. Menulislah hari ini dan tuai hasilnya.
USAHANITA DIGITAL 2025
Okay, CikYam nak cerita sikit mengenai Usahanita Digital 2025 ni apa dia. Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Program Insentif Digital Media Usahanita Muda (USAHANITA DIGITAL) bagi memperkasa usahawan wanita muda dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang.
Program ini selaras dengan hasrat kerajaan Selangor dalam Rancangan Selangor Pertama menjadikan negeri ini sebagai Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur. Program USAHANITA DIGITAL yang dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor adalah sebuah inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan keusahawanan wanita di negeri Selangor.
Program ini memberikan sokongan kepada wanita yang berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menyediakan latihan dan bimbingan yang dapat meningkatkan kreativiti, kemahiran teknikal dan pemikiran inovatif mereka untuk mewujudkan perniagaan yang berjaya dalam pelbagai aspek media digital.
PROWRITER adalah platform yang relevan dengan hasrat kerajaan Selangor. Katakanlah projek PROWRITER yang CikYam nak buat ni berjaya, ramai wanita boleh mula menulis dan buat income melalui platform PROWRITER.
Ada banyak projek yang boleh dihasilkan melalui platform PROWRITER. Memang amat mudah untuk wanita yang ingin membina kerjaya dalam penulisan, boleh bermula di platform ini. Daripada kajian yang telah CikYam buat sejak tahun lepas, PROWRITER boleh jadi satu sumber yang menghimpunkan pembaca dan pengkarja di satu tempat. Apa yang CikYam nak adalah wanita boleh buat income melalui kemahiran menulis. Sebab CikYam dah rasa hidup kembali dengan duit upah menulis selepas hilang pekerjaan.
Jangan sempitkan pandangan bahawa ini adalah platform untuk menghasilkan karya berbentuk buku sahaja. Di sinilah bakal munculnya penulis upahan atau ghost writer yang memahami keperluan pasaran.
Usahanita Digital 2025 (FASA 1)
CikYam berjaya menempatkan diri untuk Program Usahanita Digital (Fasa 1). Seramai 200 peserta pada peringkat ini. Program fasa 1 dibuat pada 10 April 2025.
Usahanita Digital 2025 (FASA 2)
Pada 18 April 2025, Wanita Berdaya Selangor (WBS) mengeluarkan senarai pendek untuk Fasa 2 iaitu seramai 120 orang peserta. Program fasa 2 akan berlangsung pada 29 April 2025 (Selasa) dan 30 April 2025 (Rabu).
Sambungan perjalanan CikYam dalam Usahanita Digital 2025 adalah mengikut kepada jangka hayat CikYam dalam program ini. Doakan CikYam berjaya ke peringkat seterusnya kerana ini bukan mengenai CikYam tetapi mengenai kebolehupayaan ramai wanita di Selangor terutamanya untuk mampu berdikari menjadi usahawan penulisan dengan menulis di platform digital. Ayuh kita menulis untuk terus menjadi wanita yang mampu memberdayakan ekonomi rumah tangga!