Coretan 3: “Saya Tak Ada Duitlah!”

CikYam ialah seorang wartawan yang telah hilang pekerjaan selepas bergelumang dalam dunia media massa selama lebih 16 tahun. Pada usia 40-an, CikYam panik apabila terpaksa berdepan dengan situasi hilang pekerjaan, hilang gaji dan hilang maruah diri.

CikYam ambil kesempatan untuk mencoretkan kisah hidup selepas dua tahun hilang pekerjaan. Susah payah, derita dan bagaimana CikYam lalui kehidupan bersama suami OKU dan dua anak yang masih kecil berusia antara 4 tahun dan 6 tahun ketika CikYam diberitakan hilang pekerjaan.

Inilah coretan ke-3:

Dua minggu lepas diberhentikan kerja.

“Awak OK tak ni?” tanya Mr Mama risau. Dia tahu PETANG SEMALAM CikYam pergi office untuk kali terakhir kerana pulangkan semua harta syarikat.

“Saya OK je,” kata CikYam acuh tak acuh. CikYam memang totally jadi orang berbeza dalam tempoh terawal hilang pekerjaan.

CikYam tahu Mr Mama risau. Mahu tak risau. Dulu aku gila-gila kot. Selalu ketawa. Maharaja Lawak tu salah satu program televisyen kegemaran CikYam. Bila kena buang kerja, TV pun CikYam tak tengok, borak dengan dia pun tak.

“Jom gi jenjalan,” kata dia sambil tersenyum-senyum.

“Takde duitlah!” jawab CikYam tegas.

Bila kena buang kerja, CikYam jadi sensitif bila sebut bab jenjalan, makan sedap. Sebab semua tu memerlukan kos. Duit! Bila hilang kerja, takde gaji. Takde gaji maknanya takde duit. Takut betul aku dengan situasi takde duit.

“Abang ada,” Mr Mama tunjuk duit RM50 yang dikeluarkan dari poket seluar.

“Awak ingat cukup duit nak jenjalan dengan lima puluh tu?” jawab CikYam. Yalah, hidup kat Shah Alam, mana cukup jalan-jalan dengan RM50. Makan je dah berapa?

“Ada lagi,” jawab Mr Mama sambil berlalu ke bilik. Dia datang kembali dengan bekas peti besi warna hijau. Ada beberapa keping duit RM50, RM10 dan RM1 berserta syiling.

Allahu! Menangis CikYam tengok duit-duit tu semua. Sesungguhnya dia ingin menggembirakan aku tatkala langitku mendung hitam yang langsung tiada sinar. Barulah CikYam sedar. Duit dia buat servis angkut sampah tiap-tiap malam di apartment kami tu, ada yang dia simpan. Kini, ketika aku selalu mengeluh bimbang tak cukup duit untuk teruskan hidup di ibu kota Shah Alam tu, dia keluarkan duit simpanan dia untuk gembirakan aku.

Dan… hari itu CikYam, Mr Mama dan anak-anak jalan-jalan di AEON Shah Alam. Bahagia. Aku lupa sebentar dengan segala keresahan yang bermain di fikiran akibat hilang pekerjaan.

Saya tahu mata awak macam tu sebab awak nangis tengok saya sedih kan?

Genggaman erat tangan Mr Mama pada tangan CikYam sepanjang di AEON, menghangatkan rasa. Genggaman itu seolah-olah ingin memberitahu CikYam, “Selagi saya ada, saya cuba bahagiakan awak. Saya tahu saya tak mampu, saya tak kaya, tapi saya akan usaha dengan kemampuan yang saya ada.”

©CikYam

Adakah aku buta hati dengan rezeki yang ada di depan mata?

JURNAL PENULISAN

Apa itu Jurnal Penulisan?

Ini adalah satu ikhtiar yang CikYam gunakan untuk cuba menulis kisah hidup CikYam sendiri dalam bentuk manuskrip dan akhirnya boleh diterbitkan sebagai sebuah buku. Daripada buku Jurnal Penulisan inilah CikYam coretkan perjalanan demi perjalanan CikYam berdepan dengan situasi hilang pekerjaan.

Nak coretkan kisah anda sendiri? Jom dapatkan Jurnal Penulisan di sini (NAK JURNAL PENULISAN)

LINK CORETAN TERDAHULU

Baca juga: Coretan 1

Baca juga: Coretan 2

Support CikYam di facebook: CORETAN 1

Support CikYam di facebook: CORETAN 2

Support CikYam di facebook: CORETAN 3