Bidang Penulis Upahan Perlu Pendidikan Formal Di Institusi Kemahiran

CikYam takkan jemu memperjuangkan isu pendidikan secara formal bidang penulis upahan di institusi kemahiran. Ini kerana CikYam percaya bahawa bidang ini juga adalah salah satu aspek kemahiran yang perlu diberi perhatian sebagai kemahiran yang boleh menjana pendapatan.

Penulis upahan memang memerlukan kemahiran menulis. Namun bukan setakat itu sahaja. Penulis upahan sebenarnya memerlukan kemahiran lain yang sama pentingnya untuk membangunkan penjenamaan diri sebagai seorang penulis upahan. Ada banyak ilmu kemahiran yang mereka perlukan.

CikYam faham, institusi kemahiran selalunya lebih fokus kepada kemahiran dan kebolehan teknikal dalam bidang hardtrade dan softrade. Misalnya elektrik dan elektronik, automotif, seramik, penyiaran dan juga jahitan. Pun begitu, apa yang CikYam perhatikan, golongan penulis juga memerlukan kursus kemahiran untuk menjadi seorang penulis upahan yang profesional.

Ada banyak institut kemahiran yang ada di tanah air kita. Sekadar menyebut beberapa institut tersebut. Misalnya GIATMARA, Institut Kemahiran MARA dan Kolej Komuniti MARA. Mungkin ada lagi yang CikYam sendiri terlepas pandang.

PENULIS UPAHAN PERLU ADA KEMAHIRAN

Apakah kemahiran yang seorang penulis upahan perlu ada?

1) KEMAHIRAN MENULIS

Seorang penulis upahan perlu tahu menulis. Namun perkara paling utama adalah kena tahu menulis sesuatu yang diperlukan di pasaran. Kurang berkesan jika kita hanya tahu menulis namun kurang peka dengan konten yang diperlukan mengikut zaman.

2) KEMAHIRAN MEMBINA JENAMA DIRI

Hal ini amat penting kerana seorang penulis upahan perlu tahu apakah kekuatan dan keunikan dirinya untuk menjenamakan dirinya. Kemahiran inilah yang ramai penulis upahan tidak pasti. Justeru, dengan ilmu yang diajarkan di institusi kemahiran, pasti sangat bermanfaat buat golongan ini.

3) KEMAHIRAN MEMASARKAN DIRI

Jika seseorang itu berniaga produk, dia perlu tahu memasarkan produk itu. Namun, bagi seorang penulis upahan, dia perlu tahu memasarkan dirinya kerana kemahiran dalam dirinya itulah yang diniagakan. Bagaimana hendak memasarkan diri? Susah, kan?

4) KEMAHIRAN NEGO DENGAN KLIEN

Bernegosiasi atau berunding dengan klien adalah salah satu kemahiran yang penting. Seorang penulis upahan, mahu atau tidak mahu perlu pandai berunding dengan klien. Hal ini berkaitan dengan sebut harga dan invois yang bakal diajukan.

5) LAIN-LAIN KEMAHIRAN

Ada banyak lagi kemahiran yang perlu diketahui oleh seorang penulis upahan.

Atas sebab inilah, CikYam menyarankan supaya ada institusi kemahiran mewujudkan kursus berkaitan dengan bidang penulis upahan kerana kemahiran ini perlu dipelajari secara formal. Bidang ini mempunyai permintaan yang sangat ramai dalam kalangan masyarakat namun belum ada lagi institusi yang menawarkan kursus ini.

Justeru, CikYam amat berharap kursus penulis upahana boleh diwujudkan di mana-mana pusat kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan supaya golongan penulis upahan mempunyai laluan lebih jelas untuk menjadi penulis upahan profesional.

Artikel ini juga berkaitan kursus penulis upahan di institusi kemahiran>>

10 SEBAB GIATMARA PERLU BUAT KURSUS KEMAHIRAN PENULIS UPAHAN ATAU GHOST WRITER