Penulis Senior VS Penulis Pemula, Ada Apa Dengan Senioriti?

Senior vs pemula (newbie). Manusia memang mudah rasa diri hebat bila dah lama dalam sesuatu bidang. Tempoh bergelumang dengan dunia itu menjadi kayu ukur kehebatan dia. Betul ke kita hebat kalau kita lama dalam sesuatu bidang?

Bagi CikYam, tahap senioriti seseorang bukanlah kayu ukur yang tepat untuk mengatakan kita hebat atau tidak. Senior dipandang hebat, newbie dipandang lekeh. Situasi macam ni sangat salah.

Senior mungkin kelebihan dia adalah pengalaman. Tempoh lama dalam sesuatu bidang adalah kesempatan terbaik untuk meranduk pelbagai pengalaman dalam bidang itu. Orang kata, lebih banyak makan garam. Jadi dia sudah sebati secukup rasa dengan bidang yang dia buat. Itu satu kelebihan.

Contohnya, seorang penulis senior sudah berbelas tahun dalam dunia penulisan. Sudah pasti dia tahu selok belok penulisan, teknik menulis dan pelbagai perkara lagi mengenai penulisan.

Newbie pula, masih baru dalam bidang tersebut. Pengalaman tak seluas alam. Masih hijau putiknya. Namun jangan lupa, mungkin baja yang dia gunakan mampu membuat dia cepat mekar dan mekarnya lebih mengharum berbanding senior.

Contohnya, seorang newbie itu bermula dengan menulis karya secara peribadi atas dasar minat. Karyanya tak pernah terbit sebaliknya menjadi simpanan untuk tatapan sendiri sahaja. Siapa tahu sebenarnya karya itu mempunyai nilai estetika tinggi kerana dihasilkan dengan minat mendalam dalam penulisan.

Jadi, untuk senior mendongak langit, merendah-rendahkan newbie sangatlah tak betul. Jangan kita letakkan diri kita sendiri sebagai senior yang hebat, senior yang bagus, senior yang mantap, senior yang berkaliber, senior yang up-up belaka. CikYam sendiri pun tak pasti, seorang senior itu perlu berapa lama tempoh dia berada dalam industri itu lalu layak dipanggil senior?

APA KAYU UKUR YANG BETUL?

Apabila kita pernah mendapat pengiktirafan daripada mana-mana pihak yang berautoriti, maka ketika itu karya kita sememangnya bagus. Ini kerana pihak yang bertauliah tersebut, mempunyai piawaian dalam menilai kriteria demi menentukan kita layak diiktiraf sebagai bagus atau tidak.

Mendapat pengiktirafan daripada pihak bertauliah adalah kayu ukur terbaik untuk meletakkan diri kita dalam kelompok yang bagus dalam bidang tertentu.

BUKAN TIKET UNTUK MENDABIK DADA

Namun, apabila kita berada dalam kelompok yang bagus, itu bukan tiket untuk kita mendabik dada. Usahlah kita memperlekeh orang lain dengan mengatakan kita paling bagus, cara kita paling betul dan orang lain semuanya tak bagus.

Dalam bidang penulisan misalnya, ini adalah satu bidang seni yang sangat subjektif. Ada yang menilai karya A bagus, ada yang mengatakan sebaliknya. Jadi memang sangat susah nak menilai sesuatu karya itu bagus.

Mungkin kita sudah ada satu rak karya diterbitkan sama ada berbentuk buku, paparan di akhbar, paparan di majalah atau e-book. Namun itu bukan tiket untuk kita mengecam orang lain yang masih baru nak melangkah menghasilkan karya mereka sendiri.

Memperlekehkan golongan newbie yang menghasilkan karya melalui usaha bersama dalam penerbitan berbentuk antologi adalah satu hal yang hanya akan menyebabkan semangat golongan ini mati di tengah jalan. Tidak mustahil sebenarnya ada antara karya dalam buku antologi itu sebenarnya lebih hebat berbanding karya senior.

Sebagai senior, galakkanlah golongan newbie ini untuk cuba menghantar karya ke mana-mana penerbit. Ini supaya karya mereka dapat dinilai dan diterbitkan supaya boleh dibaca oleh orang ramai. Hal ini juga boleh menaikkan semangat newbie untuk cuba menghasilkan karya lebih baik dan usaha menambah ilmu teknik menulis karya yang lebih serius.

SEMUANYA ADALAH MELALUI PELUANG

wartawan
Kerjaya sebagai wartawan, banyak buka peluang untuk CikYam memahami dunia penerbitan dan penulisan.

Sebenarnya, untuk kita berjaya dalam satu-satu bidang, semuanya adalah melalui satu perkara iaitu PELUANG. Tanpa ada orang yang Allah lorongkan untuk membuka peluang, sebenarnya kita bukan siapa-siapa. Seorang senior dalam dunia penulisan pun bermula dengan satu peluang kecil yang diteroka sehingga menjadi tapak kukuh untuk dia menonjolkan diri sebagai penulis. Tanpa peluang, siapa kau?

Newbie pula, peluang untuknya belum ada. Jadi, berilah dia ruang untuk meneroka potensinya. Dari semasa ke semasa, dia akan gilap bakatnya dan tidak mustahil suatu hari nanti, dia juga bakal menyerlah.

Bagi senior pula, jangan bangga jika hanya tempoh masa dijadikan kayu ukur. Sebaliknya, berapa karya kau telah diiktiraf sebagai karya yang bagus? Kalau tak ada, maknanya kau hanya senior tanpa apa-apa.

ORANG SUKA, ITU DAH CUKUP

CikYam sangat terganggu dengan kata-kata menongkat langit. Merasa diri hebat sehingga memperkecilkan usaha newbie yang lain. Bagus atau tidak diri kita, bukan kita yang tentukan. Walaupun karya kita tidak diiktiraf oleh badan berautoriti, tapi jika orang yang membaca karya kita mengatakan karya kita enak dibaca, itu sudah memadai. Maknanya karya kita dibaca oleh orang ramai dan mereka suka. Itu sudah cukup bagus!

Ketika jadi seorang wartawan, CikYam tak ada masa nak jengah banyak benda yang berlaku di sekeliling. Semuanya tertumpu pada tugas semata-mata. Dunia CikYam hanya dunia kewartawanan. Meladeni responden, mesyuarat editorial, mesyuarat klien, penggambaran, penulisan, kursus konten dan memacam lagilah. Tapi fokus hanya pada kewartawanan.

Apabila sudah tak lagi dalam dunia kewartawanan, CikYam punya banyak masa untuk meronda ruang maya. Banyak group yang CikYam join. Tapi ada satu atau dua group yang memang CikYam selongkar betul-betul.

Berkenalan dengan anggota group, berkenalan dengan adminnya. Itu yang CikYam buat. Bukan sekadar join untuk memenuhkan jumlah group yang diikuti, bukan sekadar suka-suka. Tapi CikYam percaya, dalam group itu mesti ada ilmu yang boleh CikYam manfaatkan.

Dari sinilah CikYam mulai nampak, ada segelintir penulis yang sudah ada buku sendiri mulai perlekeh usaha newbie yang berjinak-jinak menulis. Pedih! Benda ni tak patut timbul. Sokonglah sesama kita. Dunia penerbitan di tanah air kita ni kecik je awak. Balik-balik jumpa orang yang sama.

Dalam dunia kewartawanan, kami hormat wartawan senior. Kami tabik dengan pengalaman mereka yang bukan calang-calang dalam dunia media massa. Alangkah bagusnya kalau dalam dunia penulisan kreatif juga begitu.

Hormati sesama kita, itu lebih baik. Senior dihormati, newbie disayangi. Best kan?

Anda pasti suka baca entri ini juga > https://maryamelyas.my/mencari-ketenangan-dengan-menulis/