Aku Menulis Bukan Kerana Nama Tapi Kecintaan Yang Abadi

“Ala, setakat menulis tu, sesiapa pun boleh.”

Pernah satu ketika, seorang editor melontarkan kata-kata seperti itu pada wartawannya. CikYam tak tipu. Ini kisah betul. Dan sampai ke hari ini, CikYam nampak betapa hancurnya satu benda yang namanya keindahan bahasa di tangan dia.

Kalau seorang pelakon dikatakan boleh diselindungkan bakatnya dengan kecantikan atau ketampanan, adakah seorang penulis boleh diselindungkan sama macam tu? Betapa sedihnya CikYam dengar ayat macam tu keluar daripada mulut seorang editor.

Ya, CikYam akui semua orang boleh menulis. Selagi kau bukan orang yang buta huruf, kau boleh menulis. Tapi adakah kau mampu nak cari makan dengan menulis? Adakah akan ada orang yang sudi membayar kau untuk dapatkan hasil tulisan kau?
.
Kau tahu betapa peritnya menulis dalam kekangan masa?

Kau tahu betapa sakitnya memerah otak untuk menyusun ayat?

Dan kau tahu betapa susahnya menulis mengikut apa yang orang mahukan?
.
Itulah kerja penulis. Menitis air mata darah pun, ketika hati kau disakiti oleh insan paling kau sayang pun, ketika itu kau tetap bangkit demi menulis.
.
Dan apa yang paling seorang penulis rasa bahagia? Apabila hasil karyanya dapat memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya.

MENULIS CARI MAKAN

Bersama rakan wartawan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di pejabat Nu Ideaktiv.

Ya, sebagai seorang penulis, CikYam akan tetap menulis. Inilah cara CikYam cari makan. Demi menyara hidup sendiri dan juga keluarga. Menulis bagai sudah jadi darah daging.

Memang, kalau nak dibandingkan dengan adik-beradik yang lain, hidup CikYam tak semewah mereka. Dengan pendidikan tinggi dan pangkat di tempat kerja, mereka mewah dengan gaji jauh lebih besar di tempat mereka kerja. CikYam? Tanpa pangkat, gaji memang kecik.

Apatah lagi apabila CikYam dah diberhentikan kerja disebabkan pengurangan kos oleh syarikat pada ketika pandemik ini, CikYam semakin ‘miskin’ tanpa gaji bulanan.

Tapi CikYam percaya, rezeki melalui menulis ini pasti akan Allah lorongkan. CikYam takkan berhenti menulis sebab di sinilah kecintaan yang telah bersalut dengan jiwa.

TAK KAYA DENGAN MENULIS

Ya, menulis kat Malaysia ni memang susah nak kaya. Kecuali la ada novel viral yang dapat jual beribu-ribu naskhah. Insya-Allah boleh kaya. Mana ada orang nak bayar penulis ni mahal-mahal? Tapi CikYam tahu berapa nilai diri CikYam.

Pada pendapat CikYam, ada beza antara suka menulis dengan kerjaya menulis. Menulis sekadar suka-suka bukanlah satu kecintaan. Tapi menjadikan penulis sebagai kerjaya adalah satu kecintaan abadi. Kalau kau hanya suka menulis, jangan gelar diri kau penulis. Kerana di saat kau sakit, kau takkan menulis. Tapi seorang penulis, jadikan penulisan sebagai terapi merawat sakit dalam dirinya.

BAHAGIA

CikYam bahagia dengan hidup CikYam sekarang. Bebas menulis tanpa kekangan. Bebas melontar apa sahaja idea tanpa bantahan. Boleh menulis ikut apa yang CikYam mahukan. Tidak lagi terikat dengan apa-apa. Rezeki? Biarlah Allah yang tentukan. CikYam berusaha dan berdoa supaya penulisan CikYam boleh menyara hidup diri sendiri, suami yang OKU dan dua anak yang sedang membesar.

CikYam,
Menulis bukan kerana nama

KORANG MESTI SUKA BACA ARTIKEL YANG NI JUGAK.

Macam Mana Ghost Writer Mudahkan Urusan Geng Mak Bisnes?