Kerja Siap Tapi Upah Tak Dapat, Jom Ketahui 3 Cabaran Sebagai Ghost Writer Pada Hari Ini
Ghost writer atau penulis upahan adalah salah satu kerja pada hari ini. Setiap pekerjaan, ada cabarannya. Tak kiralah apa jua jenis kerja. Selagi namanya kerja, cabaran tetap ada.
Kali ini CikYam ingin berikan tiga situasi cabaran dunia penulis upahan yang pernah berlaku. Situasi ini tidak pernah berlaku pada CikYam tapi berlaku pada kawan-kawan ghost writer CikYam.
Jom kita tengok apa cabaran kerja sebagai penulis upahan ni.
KECURIAN IDEA
Kes kecurian idea selalunya berlaku dalam proses pembikinan ebook. Ini disebabkan, sebuah ebook disiapkan terlebih dahulu isi kandungannya. Apabila klien bersetuju dengan isi kandungan itu, barulah manuskrip ebook penuh akan disiapkan.
Ada kes berlaku apabila isi kandungan sudah siap, klien memberikan kepada penulis lain yang menawarkan harga servis lebih murah. Ini bermakna idea penulis upahan yang asal sudah dicedok dan diberikan kepada penulis lain.
Mungkin bagi sesetengah orang, hal ini biasa sahaja. Anggaplah bukan rezeki. Namun situasi seperti ini memberikan kesan tidak baik dalam dunia penulisan.
Idea seseorang perlulah dihormati dan elakkan perbuatan sedemikian.
SEBUT HARGA BERBEZA
Satu lagi cabaran dalam dunia penulis upahan adalah sebut harga servis yang berbeza-beza. Ini kerana tiada harga standard yang menjadi satu rujukan konkrit dalam dunia penulis upahan.
Yang ada hanyalah satu group alumni daripada peserta Kursus Online Ghost Writer di bawah penulisupahandotcom. Namun ini bukanlah group rasmi. Pun begitu, perkongsian dalam group ini sudah memadai untuk setiap penulis upahan mendapatkan kesepakatan dalam menentukan kadar caj servis yang ditawarkan.
Bukan semua penulis upahan duduk di dalam group ini kerana mereka bukan alumni kursus yang disebutkan tadi. Ini membuatkan sebut harga tidak sekata dan ada yang menawarkan servis di bawah nilai atau kadar standard. Hal ini membuatkan caj yang ditawarkan adalah berbeza-beza antara satu ghost writer dengan ghost writer yang lain.
Alangkah bagusnya jika sebagai ghost writer kita ada organisasi rasmi atau persatuan yang memberikan garis panduan kepada seluruh ghost writer yang berdaftar. Mesti best kan? Maknanya setiap penulis upahan yang berdaftar akan dapat nombor identiti (ID number). Servisnya adalah profesional. Klien pun lebih yakin untuk menempah konten dengan ghost writer yang berdaftar kerana kredibilitinya sebagai penulis upahan yang sah.
Terbayang ada Persatuan Penulis Upahan Profesional. Mungkin semua ghost writer yang ada boleh sama-sama fikirkan hal ini. Untuk manfaat bersama juga kan?
KERJA SIAP, UPAH TAK DAPAT
Ini satu lagi cabaran yang selalu dihadapi terutamanya bagi penulis upahan yang masih baru berjinak-jinak dalam dunia ini. Hal ini terjadi disebabkan penulis upahan yang baru, selalunya teruja apabila mendapat tempahan. Mereka tergesa-gesa cuba menyiapkan tempahan dan menghantar kepada klien.
Sikap terlalu percaya menjadikan penulis upahan mudah tertipu dengan klien yang bijak memanipulasi keikhlasan seseorang. Anggaran bayaran yang sedikit juga menjadikan klien adanya mengambil remeh hal ini sehingga ‘buat-buat lupa’ untuk membayar.
Ada bayaran upah konten hanya RM10 untuk satu konten. Jumlah sedikit membuatkan penulis upahan junior segan untuk meminta banyak kali dan klien pun culas hendak membayar. Akhirnya terbiar begitu sahaja.
Inilah sebabnya dalam kursus ada memberikan panduan kepada penulis upahan supaya menjalankan kerja sebagai penulis upahan secara profesional. Semuanya demi mengelakkan hal sebegini berlaku. Penulis upahan perlu menyediakan sebut harga, invois dan resit kepada klien.
Setiap kerja perlu ada deposit demi mengelakkan situasi kerja siap, upah tak dapat.
So, dengan adanya senarai cabaran ini, CikYam harap kita semua sebagai penulis upahan dapat menjalankan kerja sebagai penulis upahan ni secara profesional. Elakkan daripada memberikan servis yang buruk kepada klien dan juga elakkan diri kita daripada tertipu dari segi bayaran. Semoga dipermudahkan!
ANDA MUNGKIN BERMINAT JUGA DENGAN LINK INI.