Serius, Aku Dah Letih Kejar Target. Sekarang Masa Untuk Hargai Diri
Tahun ni, tahun 2021. Bulan Oktober nanti umur CikYam akan masuk 44 tahun dah. Dah cukup tua dan dah cukup matang sebagai seorang wanita. Tak ada apa lagi yang CikYam nak selain kebahagiaan dan enjoy menikmati apa yang Allah berikan pada CikYam. CikYam nak hargai diri.
CikYam nak pasangan, Allah bagi pada usia CikYam 36 tahun. CikYam nak anak, Allah bagi pada usia CikYam 37 tahun dan 40 tahun. Nak apa lagi? Cukuplah tu. Nak kaya? CikYam rasa cukup dengan rezeki yang Allah bagi. CikYam belum pernah lagi sampai kebulur tak makan. Cukuplah, CikYam syukur.
Bergelumang dengan bisnes online, CikYam selalu diasak dengan perlu capai target. Mereka yang capai target disanjung tinggi. Mereka yang tak capai target, memang tak dapat apa-apa. Reward ke, apa ke, memang tak akan dapat. Cium bau pun tak layak.
Sikap berlumba-lumba itu memang bagus. Itulah jati diri seorang usahawan sebanar. Kena capai target. Kejayaan diukur dengan capai atau tak capai target yang kita letak. Dengan adanya target, kita selalunya akan lebih fokus dan kreatif nak buat apa sahaja untuk kita capai target tersebut.
Bagus kan bila kita ada target?
TAPI AKU DAH LETIH…
Pada usia sekarang, CikYam dah letih nak capai semua tu. Masa kerja wartawan pun, KPI setiap staff dikira sama ada kau capai target atau tak capai angka target yang diberi oleh pihak management. Dulu target kita adalah circulation jualan majalah. Bila majalah edisi cetak dah terkubur, target wartawan adalah bilangan pageview di website yang dikira oleh Google Analytics.
Angka jutaan perlu dicapai setiap bulan. Kalau target tak capai, maka kita semua akan ‘dibasuh’ tiap kali meeting editorial. Ya, memang semangat nak capai target. Kita rasa boleh capai. Kita buat sebagaimana yang kita rancang. Ada kalanya capai dan ada kalanya memang tak capai.
Kadang bila ditanya, CikYam akan jawab saya dah buat semua sebagaimana yang dirancang. Tapi saya tak tau nak kata apa bila tak capai jumlah pageview yang dimahukan. Ketika ini, cubalah kita berbalik pada qada dan qadar Allah. Namun katanya angka tak pernah menipu.
MASANYA UNTUK HARGAI DIRI
Bagi CikYam, dalam hidup ni, kita kena hargai yang dinamakan proses. Apa proses yang telah kita lalui untuk capai target tu? Apa yang kita buat untuk capai target? Apa yang kita usahakan untuk capai target? Apa yang kita korbankan untuk capai target?
Masa kerja dulu, tiap hari buat konten. Fikir konten terbaik yang dirasakan boleh tarik minat pembaca. Sampai jauh malam menaip konten. Terbangun jam 3 pagi, bukannya bangun solat sunat. Tapi bangun bukak laptop nak tengok Google Analytic. Konten aku dapat ranking ke berapa. Kalau tak capai, share link ke group-group facebook. Sampai macam tu punyalah nak capai target.
Nak capai target sale pulak, sampai jauh malam masuk ke group-group facebook. Asal ada yang up status nak cari skincare nak rawat kulit, CikYam akan komen. Bagi gambar produk. Up status cari team. Ya, tanpa letih.
Sekarang, CikYam dah penat.
Banyak yang CikYam korban. Korban masa dengan anak, korban emosi anak, korban kasih sayang suami. Banyak. Kadang capai target, kadang tak capai target. Tapi pengorbanan tetap sama.
Masa lalu takkan kembali. Allah turunkan apa yang CikYam impian iaitu pasangan dan anak, ketika usia CikYam dah di penghujung. Kenapa CikYam tak hargai semua ni?
CikYam dah penat nak rasa ketinggalan melihat orang lain menuju ke puncak. Ya, mungkin mereka lebih berusaha, mungkin mereka lebih berkeupayaan, mungkin mereka lebih berdaya saing. CikYam dah penat nak berada dalam situasi yang macam tu.
BUAT KPI SENDIRI
CikYam hilang pekerjaan pada usia nak masuk 44 tahun. Ketika anak sedang membesar. Suami CikYam pun tak ada kerja tetap. Dia OKU fizikal. Banyak kali apply kerja, tak dapat. Kami sama-sama tiada pendapatan tetap.
CikYam dah puas menangis sebab terkejut bila diberhentikan kerja. Takut hidup susah sampai jejas kebahagiaan anak. Tapi dahlah, CikYam masa nak fikir. CikYam nak hargai proses kehidupan yang Allah tetapkan.
Dalam pada CikYam banyak korbankan emosi anak dan suami sebab asyik nak capai target, biarlah sekarang ni CikYam ubah pada hargai proses dan menghargai kemajuan yang dicapai dalam hidup.
CikYam buat KPI sendiri yang lebih bermakna. Beribadat lebih ikhlas dan bukannya beribadat sebab nak balasan supaya Allah bagi kita capai target.
CikYam impikan solat awal waktu, selawat, puasa sunat dan solat sunat. Itulah KPI sekarang. Kerja-kerja ghost writer akan tetap CikYam buat kerana itulah lorong yang Allah bukak untuk menyalurkan rezeki buat kami sekeluarga.
CikYam nak jadi manusia yang tahu menghargai proses. Bukannya hanya berkiblatkan target semata-mata. Rasanya itu lebih membahagiakan.
Bila CikYam cakap macam ni, bukanlah CikYam langsung tak ada target dalam hidup. Bukanlah sampai buat kerja bisnes sambil lewa. Bukan macam tu. CikYam tetap ada target tapi CikYam lebih hargai proses yang CikYam buat. Andai kata segala planning yang dibuat sudah dibuat dengan sungguh-sungguh tapi target tetap belum dapat dicapai, CikYam tetap hargai. Kita usaha, tapi Allah yang menentukan.
CikYam nak elak stress, nak elak kedukaan, nak elak emosi terbeban. Itu semua menyakitkan.
Bak kata guru motivasi CikYam, Cikgu Dhuha Rashidi, “Mujahadah itu hasilnya sangat indah. Tapi prosesnya sangat perit lagi menyakitkan.”
Memandangkan proses itu perit dan menyakitkan, alangkah lebih menyakitkan bila kita tak hargai proses itu sendiri. Janganlah hanya memandang apa yang dicapai tapi pandanglah juga proses yang dilalui. Tiap orang tak sama keupayaannya.
Wallahuklam.
GENG MAK BISNES MESTI SUKA JUGA BACA ARTIKEL DI BAWAH INI.