Hilang pekerjaan adalah satu pengalaman yang menggoncang emosi dan keyakinan diri. Apatah lagi apabila tanggungjawab hidup masih berjalan seperti biasa. Hutang tetap perlu dibayar, komiten bil bulanan tetap perlu dilangsaikan.
CikYam sendiri pernah berada di fasa itu. Hilang kerja wartawan pada November 2020. Rutin hidup jadi berubah dan hilang kepastian tentang masa depan. Namun pada saat itulah, CikYam sedar satu perkara penting iaitu kemahiran menulis yang selama ini dianggap biasa-biasa sebenarnya boleh menjadi talian hayat. Menulis bukan sekadar bakat kemahiran tetapi aset yang boleh dijadikan sumber pendapatan jika digunakan dengan strategi yang betul.

Jom CikYam ceritakan bagaimana bidang penulisan boleh jadi income tetap walau tanpa ada majikan.
Apa yang CikYam tulis di bawah ini bukan janji bulan dan bintang. Tapi inilah yang CikYam lakukan sejak tahun 2020 hingga kini iaitu ambil upah menulis dan duit itulah yang digunakan untuk menyara seisi keluarga iaitu diri sendiri, dua orang anak dan suami orang kurang upaya (OKU).
TIP PERTAMA: Jangan tunggu peluang datang tapi buat orang sedar kehadiran kita dalam industri

Ramai orang yang pandai menulis tetapi tidak berjaya mendapatkan income melalui penulisan kerana menunggu job datang atau tawaran projek.
Pengalaman CikYam berbeza. Selepas hilang kerja, CikYam mula menulis secara konsisten di Facebook dan blog. Bukan untuk mencari simpati, tetapi untuk menunjukkan cara CikYam berdepan dengan situasi hilang kerja itu. Dari situ orang nampak cara kita berfikir, menganalisis dan bercerita.
Contohnya, CikYam menulis tentang isu masyarakat, pengalaman hidup dan pandangan profesional dalam bahasa yang mudah difahami. Dari situlah, orang mula perasan dan percaya bahawa CikYam mampu menulis untuk mereka. Peluang tidak datang kerana kita menunggu, tetapi kerana kita kelihatan bersedia.
CikYam juga berkongsi tip penulisan. Misalnya penulisan copywriting mudah untuk ejen jualan produk sistem ejen supaya mereka nampak berbeza berbanding ratusan ejen produk yang sama.
TIP KEDUA: Gunakan kisah hidup sebagai kekuatan, bukan kelemahan

Setiap orang ada cerita, tetapi tidak semua berani menggunakannya sebagai nilai tambah. CikYam tidak nafikan realiti hidup CikYam sebagai seorang isteri, ibu dan penulis upahan yang mencari rezeki melalui kata-kata. Sebaliknya, CikYam jadikan pengalaman itu sebagai sumber empati dalam penulisan.
Apabila klien berkongsi kisah bisnes atau perjuangan hidup mereka, CikYam benar-benar faham emosi di sebalik cerita tersebut. Contohnya, ketika menulis kisah usahawan kecil, CikYam tahu bagaimana rasanya bermula dari kosong. Itulah yang membuatkan tulisan lebih hidup dan diyakini.
TIP KETIGA: Mulakan dengan skala kecil tetapi konsisten

Ramai yang berhenti awal kerana bayaran projek pertama dirasakan terlalu kecil. CikYam juga bermula dengan projek yang sederhana nilainya. Namun CikYam melihat setiap projek sebagai latihan, bukan penamat. Setiap tugasan, CikYam siapkan dengan kualiti terbaik kerana CikYam tahu ia akan menjadi testimoni tidak rasmi.
Contohnya, satu artikel kecil boleh membuka peluang kepada projek buku, skrip atau latihan penulisan. Konsistensi inilah yang akhirnya membina reputasi dan aliran pendapatan yang lebih stabil.
Kesimpulannya, menulis tidak menjanjikan jalan yang mudah atau cepat kaya. Namun bagi mereka yang sanggup belajar, konsisten dan jujur dengan proses, penulisan boleh menjadi jalan keluar daripada kejatuhan hidup. CikYam adalah buktinya. Hilang kerja bukan penamat segalanya. Namun boleh jadi, itu adalah permulaan kepada versi diri yang lebih kuat.
Sertai Kelas Online Penulis Upahan pada Sabtu, 14 Februari 2026, 10 pagi. Butiran lajut dan daftar di sini>> KELAS FEBRUARI 2026






