Selain Teknik Menulis, Apa Lagi Yang Perlu Penulis Kuasai?

Apabila bekerja sebagai seorang penulis profesional sejak awal tahun 2000 dulu, CikYam perhatikan banyak kepincangan dalam kerjaya ini. Ya, memang ramai orang boleh menulis. Namun mereka hanya menguasai teknik menulis sahaja.

Ketika itu CikYam bekerja di syarikat penerbitan buku. Ramai penulis yang bergantung harap kepada pembaca pruf dan editor untuk memperbaiki karya mereka. Tak dinafikan, karya mereka memang mempunyai teknik penceritaan yang menarik. Namun pembacaan terganggu sebab kesalahan tatabahasa yang boleh dikatakan agak teruk.

Apabila CikYam masuk pula ke bidang kewartawanan, masalah yang sama berlaku dalam kalangan wartawan. Mereka boleh menulis tetapi mempunyai masalah kritikal dalam tatabahasa. Malah boleh CikYam akui, dalam kalangan editor pun masalah tatabahasa ini turut berlaku.

Apabila dunia penulisan majalah edisi cetak semakin merudum jualannya, syarikat penerbitan mula beralih arah kepada penulisan konten digital. Kebanyakan penulis konten adalah graduan yang muda belia. Ya, mereka pun boleh menulis. Sangat menarik konten yang dipaparkan. Tapi kalau diperhatikan, masih terdapat kesalahan tatabahasa yang berlaku di sana sini.

ANGGAP TATABAHASA PERKARA REMEH

kata sendi
Ramai penulis yang kurang mahir dengan tatabahasa.

Perkara sebegini berlaku kerana ramai menganggap tatabahasa adalah perkara remeh. Asalkan maksud ayat yang ingin disampaikan itu boleh difahami oleh pembaca, itu sudah memadai walaupun banyak kesalahan tatabahasa. Perkara ini amat menyedihkan.

Pernah CikYam menegur mengenai kesalahan tatabahasa kepada seseorang. Katanya, kalau asyik fikir soal kesalahan tatabahasa, makin ramailah takut nak menulis. Ada juga yang mengatakan, saya bukan nak menulis teks rasmi sampai nak kena menulis dengan tatabahasa yang betul.

Itulah salah satu kekeliruan yang sangat besar. Menulis dengan tatabahasa betul bukan bermaksud kita menulis ayat rasmi sehingga macam gaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Tatabahasa adalah struktur ayat. Manakala gaya rasmi atau santai pula adalah konteks gaya bahasa. Jadi, boleh je nak menulis dengan gaya santai tapi tatabahasanya terjaga elok.

PENULIS KENA MAHIR TATABAHASA

Sejak sekolah rendah lagi, kita telah didedahkan dengan tatabahasa dalam subjek Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu. Malah kita semua kena lulus subjek itu. Lepas habis sekolah, terus lupa segala ilmu tatabahasa sebab kita tak aktif menulis. Ya, itu CikYam faham.

Tapi kalau berhajat menjadikan penulisan sebagai kerjaya, seseorang itu perlu kuasai ilmu tatabahasa. Ini supaya hasil penulisan itu memberikan lebih kredibiliti kepada penulis itu sendiri di samping menyajikan karya yang menggunakan tatabahasa dengan betul.

Apabila membaca banyak konten digital di platform internet, banyak portal yang kontennya mempunyai kesalahan tatabahasa. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Tapi itulah, ramai penulis konten yang kurang mahir dengan tatabahasa. Inilah yang berlaku.

Kesalahan tatabahasa cenderung menjadikan struktur ayat dan ejaan yang salah. Sangat memalukan jika media arus perdana turut menghadapi masalah kesalahan tatabahasa. Namun, tak ada sesiapa pun yang ambil endah dengan hal ini kerana ramai menganggap tatabahasa adalah hal remeh dan tak perlu diperbesarkan.

Anda mesti suka juga dengan entri ini. KLIK SINI.