Ketika entri blog ini ditulis, CikYam telah pun melangkah ke Fasa 2 dalam Program Usahanita Digital 2025. Sejujurnya, CikYam tak pernah terfikir akan berada dalam kelompok usahawan hebat yang rata-ratanya menjalankan bisnes seperti makanan dan minuman, pusat kecantikan, takaful, fesyen dan pertanian. Dalam kalangan mereka, CikYam berseorangan sebagai usahawan dalam bidang penulisan.
Kenapa CikYam sertai program ini?
Semuanya kerana dunia digital adalah talian hayat CikYam selepas kehilangan pekerjaan. Tanpa pendapatan tetap, CikYam bangkit dengan menggunakan satu-satunya kemahiran yang ada iaitu menulis. Bermula sebagai penulis upahan, dunia digitallah yang membuka ruang untuk CikYam berhubung dengan klien, membina reputasi dan mendapatkan klien untuk upah menulis sebagai sumber rezeki.
CikYam percaya, ramai wanita di luar sana sebenarnya ada bakat dan minat menulis. Tapi mungkin mereka belum tahu bahawa menulis juga boleh jadi sumber pendapatan, jika kena dengan caranya. Inilah mesej yang ingin CikYam sampaikan kepada wanita lain terutamanya wanita di Selangor. Kehilangan pekerjaan bukan titik akhir, ia mungkin titik mula untuk kehidupan yang lebih bermakna.
Penulisan & dunia digital
Dalam dunia hari ini, penulis tak boleh lari daripada teknologi. Dua platform utama yang membantu kerjaya CikYam berkembang ialah:
1) Laman web
2) Media sosial
Melalui kedua-duanya, CikYam berjaya menarik klien, mempromosikan perkhidmatan dan membina komuniti penulis. Melalui laman web CikYam banyak dapat klien. Melalui media sosial juga CikYam membina personal branding untuk jadi penulis upahan yang trusted.
Atas dasar inilah, CikYam membangunkan PROWRITER, satu platform digital yang bakal melahirkan lebih ramai penulis bebas dan usahawan penulisan tanah air.
PROWRITER bukan sekadar ruang menulis tapi ini adalah landasan untuk menaikkan kredibiliti penulis, menghubungkan mereka dengan pembaca dan memberi peluang kepada penulis terbitkan karya mereka dalam bentuk fizikal atau digital.
Doakan perjalanan ini. CikYam ingin beri inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk bangkit melalui penulisan. Mulakan karya anda di PROWRITER. Menulislah hari ini dan tuai hasilnya.
USAHANITA DIGITAL 2025
Okay, CikYam nak cerita sikit mengenai Usahanita Digital 2025 ni apa dia. Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Program Insentif Digital Media Usahanita Muda (USAHANITA DIGITAL) bagi memperkasa usahawan wanita muda dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang.
Program ini selaras dengan hasrat kerajaan Selangor dalam Rancangan Selangor Pertama menjadikan negeri ini sebagai Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur. Program USAHANITA DIGITAL yang dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor adalah sebuah inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan keusahawanan wanita di negeri Selangor.
Program ini memberikan sokongan kepada wanita yang berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menyediakan latihan dan bimbingan yang dapat meningkatkan kreativiti, kemahiran teknikal dan pemikiran inovatif mereka untuk mewujudkan perniagaan yang berjaya dalam pelbagai aspek media digital.
PROWRITER adalah platform yang relevan dengan hasrat kerajaan Selangor. Katakanlah projek PROWRITER yang CikYam nak buat ni berjaya, ramai wanita boleh mula menulis dan buat income melalui platform PROWRITER.
Ada banyak projek yang boleh dihasilkan melalui platform PROWRITER. Memang amat mudah untuk wanita yang ingin membina kerjaya dalam penulisan, boleh bermula di platform ini. Daripada kajian yang telah CikYam buat sejak tahun lepas, PROWRITER boleh jadi satu sumber yang menghimpunkan pembaca dan pengkarja di satu tempat. Apa yang CikYam nak adalah wanita boleh buat income melalui kemahiran menulis. Sebab CikYam dah rasa hidup kembali dengan duit upah menulis selepas hilang pekerjaan.
Jangan sempitkan pandangan bahawa ini adalah platform untuk menghasilkan karya berbentuk buku sahaja. Di sinilah bakal munculnya penulis upahan atau ghost writer yang memahami keperluan pasaran.
Usahanita Digital 2025 (FASA 1)
CikYam berjaya menempatkan diri untuk Program Usahanita Digital (Fasa 1). Seramai 200 peserta pada peringkat ini. Program fasa 1 dibuat pada 10 April 2025.

Usahanita Digital 2025 (FASA 2)
Pada 18 April 2025, Wanita Berdaya Selangor (WBS) mengeluarkan senarai pendek untuk Fasa 2 iaitu seramai 120 orang peserta. Program fasa 2 akan berlangsung pada 29 April 2025 (Selasa) dan 30 April 2025 (Rabu).

Selepas mendapat taklimat, peserta perlu memakai blazer untuk menghadiri sesi Fasa 2. CikYam takde blazer yang sesuai. Jadi, CikYam pun keluarkanlah duit untuk beli blazer. Ya, memang mahal sepasang blazer (blazer dan skirt) nak dekat RM500 untuk saiz macam CikYam
Sepanjang dua hari Bengkel Pembangunan Kapasiti (Fasa 2) berlangsung, CikYam semangat belajar. Macam-macam ilmu yang dapat ditimba. Rasa beruntung sangat dapat masuk ke Fasa 2 ni.

Namun, berakhirnya Bengkel Pembangunan Kapasiti ini, bukanlah penamat. Para peserta ditinggalkan dengan empat tugasan yang perlu disiapkan. Tugasan tersebut adalah:
1) Video mengenai bisnes yang dijalankan dan mengenai program Usahanita Digital.
2) Memuat naik video itu di platform media sosial.
3) Menyiapkan website sebaik yang mungkin.
4) Menyiapkan business model canvas (BMC)
CikYam menyiapkan tugasan ini dengan bersungguh-sungguh. Nak tengok hasilnya? CikYam kongsi di sini video yang CikYam buat ya.
Video 3 Minit Sebagai Tugasan Fasa 2 Usahanita Digital

CikYam tak buat video ni cikai-cikai tau. CikYam buat sepenuh hati. Gunakan kamera DSLR, aku edit guna Adobe Premier. Sebab apa? Sebab CikYam nak yang berkualiti. CikYam masukkan subtitle walaupun renyah. Tapi CikYam buat. CikYam sanggup balik hampir jam 10 malam, tinggal anak, tinggal suami. CikYam berada di pejabat untuk siapkan video ni.
Ni, di bawah ni, CikYam letak link video yang CikYam muat naik di facebook. Bolehlah tonton dan tengok hasilnya.

Website PROWRITER Tugasan Usahanita Digital 2.0
Jom tengok pula website yang CikYam buat. CikYam guna warna merah kerana ini warna rasmi PROWRITER. Biar nampak gagah, biar nampak menyerlah.



Website PROWRITER CikYam buat bukan untuk sekadar ada. Tapi CikYam buat supaya orang mudah baca, mudah faham dan mudah untuk tahu apa sebenarnya tujuan website ini dibuat. Sebab itulah, bukalah di mana pun, sama ada di komputer, di handphone atau di tablet, paparannya tetap mesra mata, mesra pengguna. CikYam amat teliti, CikYam amat berhati-hati ketika membuat website ini.
Hasilnya…..

Usahanita Digital 2025 (FASA 3)
CikYam tak tahu macam mana nak ucap. CikYam bersyukur dan berkali-kali minta emak CikYam doakan kejayaan CikYam. Emak berdoa dan CikYam berusaha sedaya mana yang CikYam mampu. CikYam tak sangka mendapat nombor 1 dalam Fasa 2.
Tarikh 24 Mei 2025 adalah ulang tahun perkahwinan CikYam dan suami. CikYam perlu fokus pada Bazar Usahanita Digital yang berlangsung pada 25 Mei 2025. CikYam cakap pada suami, kita takkan celebrate dulu kerana sibuk dengan persiapan bazar.
Persiapan Bazar Usahanita Digital
CikYam minta tolong pada Art Director untuk membuatkan stiker untuk dilekatkan pada foam board. Pada stiker itu ada kod QR untuk orang ramai mendaftar sebagai penulis PROWRITER.



CikYam juga buat t-shirt PROWRITER untuk dipakai pada hari bazar. CikYam sedaya upaya ingin menonjolkan jenama PROWRITER dalam bazar kerana sedar PROWRITER tiada banyak produk untuk ditonjolkan.



CikYam tak tau nak ucap apa, tapi terima kasih kepada para pembaca yang mengikuti CikYam di media sosial yang sudi hadir ke lokasi untuk mendaftar sebagai pembaca PROWRITER.
Susunan Meja Ketika Bazar Usahanita Digital
Bagi susunan meja ketika bazar pula, CikYam bawa laptop, tablet, buku PROWRITER dan tiga keping foam board yang lengkap dengan kod QR untuk pendaftaran sebagai penulis. Satu foam board CikYam print saiz A4 untuk memaparkan header website PROWRITER. Ada tertulis ‘Penulisan Satu Kerjaya’ yang merupakan tagline PROWRITER.
PROWRITER memang tidak ada produk kecuali buku PROWRITER itu sahaja. Selebihnya adalah servis penulisan. Ramai pengunjung yang datang dan CikYam terangkan mengenai PROWRITER. Ada beberapa orang penulis yang aktif di Wattpad mendaftar dengan PROWRITER.
Dengan menggunakan Google Form, ada 38 pengunjung yang mendaftar dengan PROWRITER, untuk menjadi penulis PROWRITER. CikYam happy sangat! CikYam bersyukur.
Usahanita Digital 2025 (FASA 4)
CikYam menanti keputusan Fasa 3 (Bazar Usahanita Digital) dengan penuh harapan. Bagi CikYam, CikYam dah lakukan yang terbaik. CikYam ikut saranan supaya minimalis di atas meja. Lagipun CikYam memang amalkan konsep minimalis kerana bagi CikYam usahawan digital memang perlu meminimaliskan serba serbi. Bawa prospek ke kedai digital.
Akhirnya, pada hari yang begitu bermakna, keputusan Fasa 3 pun dikeluarkan oleh penganjur. Alangkah pilunya hati ni, CikYam gagal untuk fasa seterusnya iaitu Fasa 4 yang merupakan sesi pitching. Hanya 40 peserta terpilih dan PROWRITER, kecundang. Ya, kecundang.
Sejujurnya amat tinggi harapan CikYam dengan program Usahanita Digital ini kerana program ini amat dekat dengan konsep PROWRITER iaitu berkarya secara digital. Meminimumkan penggunaan kertas dalam karya, semuanya melalui paparan digital.
CikYam sendiri tidak pasti dengan penilaian pihak juri. Mungkin ada sesuatu kelompongan dalam bisnes PROWRITER yang cuba CikYam tonjolkan. Mungkin juga ada pihak yang belum nampak macam mana penulisan boleh dijadikan bisnes, boleh dijadikan sumber pendapatan berbanding jualan produk secara e-commerce. Aku tak pasti.
CikYam terima kekalahan yang sekali gus meranapkan impian PROWRITER. Namun semangat ini masih membara dalam diri.
Kepada usahawan yang masih kekal, tahniah CikYam ucapkan.
CikYam tutup coretan ini pada 16 Jun 2025.