Tentang Cik Yam

Mantan wartawan arus perdana. Kini aktif sebagai penulis upahan dan jurulatih penulisan. Perlukan khidmat penulisan atau jurulatih penulisan? Jom kita bekerjasama!

Penulis Upahan Perlu Ada Mindset Usahawan

Facebook
Twitter
LinkedIn

Kerjaya sebagai penulis upahan sering disalah anggap sebagai kerja sambilan atau sekadar menulis ‘bila ada masa’. Hakikatnya, dunia penulisan profesional terutamanya bagi penulis upahan adalah kerjaya yang menuntut disiplin, strategi dan pemikiran yang sama seperti seorang usahawan.

Jika mahu bertahan lama dan berjaya dalam industri penulis upahan, kita tidak boleh hanya bergantung pada bakat menulis semata-mata. Bakat itu perlu disokong oleh mindset keusahawanan yang matang. Tanpa mindset sebegini, kita takkan dapat meraih pendapatan yang kita inginkan.

Seperti yang pernah CikYam ceritakan sebelum ini, CikYam bermula sebagai seorang wartawan. Pada penghujung tahun 2020, dunia dilanda COVID-19 dan CikYam telah hilang pekerjaan. Sebagai seorang yang menyara keluarga kerana suami CikYam ialah seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal tanpa pendapatan tetap, CikYam perlu bangkit untuk terus ada pendapatan sama seperti waktu bekerja.

Justeru, dunia penulis upahan adalah satu langkah terbaik untuk CikYam ada pendapatan. Ya, melalui kerja ambil upah menulis. Dari sini, CikYam bangunkan mindset sebagai orang usahawan supaya CikYam ada pendapatan tetap dengan menulis.

Berikut enam sebab mengapa penulis upahan perlu berfikir seperti seorang usahawan:

 

1. Menulis Adalah Perniagaan, Bukan Hobi

Hobi dibuat pada masa lapang. Perniagaan pula adalah satu kerja yang dibuat untuk mendapatkan income.

Penulis upahan perlu melihat kerja menulis sebagai sebuah perniagaan, bukan sekadar hobi. Seorang usahawan sentiasa memikirkan cara bagaimana produk atau perkhidmatannya boleh membantu pelanggan.

Begitu jugalah seorang penulis upahan perlu berfikir. Cuba anda fikirkan, macam mana kemahiran menulis yang anda miliki itu perlu digunakan oleh orang lain dan mereka sanggup membayar anda untuk mendapatkan servis anda.

Dalam dunia perniagaan, anda perlu fikirkan cara teks yang dihasilkan hendaklah memenuhi objektif klien, menyelesaikan masalah komunikasi dan memberi impak pada khalayak sasaran. Apabila menulis dilihat sebagai perniagaan, kita akan lebih serius dalam mengurus masa, menilai pulangan dan membina jenama peribadi.

2. Klien Adalah Pelanggan, Tambah Nilai

Ramai penulis masih terperangkap dalam mentaliti pekerja makan gaji iaitu menunggu arahan dan hanya menyiapkan tugasan. Penulis upahan profesional perlu memahami bahawa hubungan dengan klien adalah hubungan perniagaan dua hala. Klien membayar untuk hasil yang profesional, manakala penulis menyediakan naskhah berbentuk tulisan.

Dengan mindset usahawan, anda lebih berani mengemukakan idea, berbincang tentang strategi kandungan dan menetapkan had kerja yang jelas. Ini menjadikan hubungan kerja lebih sihat, berstruktur dan dihormati.

Jadi, jangan hanya siapkan kerja yang ditempah. Sebaliknya tambah nilai (added value) dalam kerja anda dan lihatlah hasilnya. Anda jadi penulis upahan yang selangkah ke hadapan berbanding penulis upahan lain.

3. Pemasaran Diri Adalah Tanggungjawab Sendiri

Dalam dunia keusahawanan, tiada siapa akan datang membeli produk kita jika kita tidak memperkenalkannya. Prinsip ini juga terpakai kepada penulis upahan. Mindset usahawan mendorong penulis untuk aktif membina reputasi, membina jaringan profesional dan mempromosikan hasil kerja.

Website yang dibina dengan objektif penjenamaan dan pemasaraan diri CikYam sebagai penulis upahan dan jurulatih penulisan.

Pemasaran diri boleh dilakukan sama ada melalui blog atau media sosial. CikYam sendiri menggunakan blog dan media sosial untuk mempromosikan servis penulis upahan yang CikYam sediakan. Semua ini adalah bentuk pemasaran yang membantu menarik peluang baru. Penulis upahan yang mempunyai strategi pemasaran diri akan lebih mudah dikenali dan mendapat kepercayaan pasaran.

4. Nilai Diri Melalui Kepakaran, Bukan Harga Murah

Main harga. Ini adalah satu situasi yang boleh membunuh industri. Seorang usahawan berjaya tidak bersaing dengan menjatuhkan harga, tetapi dengan menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan. Begitu juga dengan penulis upahan.

Mindset usahawan mengajar penulis upahan untuk menilai kekuatan diri. Apakah jenis konten yang kita boleh hasilkan dengan baik?

Macam CikYam pun, bukan semua jenis konten CikYam akan letakkan caj yang tinggi. Caj yang tinggi adalah untuk penulisan rencana dan penulisan copywriting jenis storytelling. Ini kerana kepakaran CikYam adalah di situ. Sebaliknya, untuk penulisan dokumen rasmi dan skrip, caj adalah standard kerana banyak lagi yang perlu CikYam perbaiki.

Justeru, nilai diri kita melalui kepakaran. Bukannya terus main harga. Dengan cara ini, penulis upahan tidak lagi takut untuk meletakkan harga yang wajar kerana mereka tahu nilai sebenar kerja mereka.

5. Bukan Sekadar Fikir Untung, Tapi Networking

Seorang usahawan menilai keuntungan daripada pelbagai sudut. Bagi penulis upahan, setiap projek ialah peluang membina reputasi dan hubungan jangka panjang. Klien yang puas hati boleh menjadi sumber promosi paling berkesan melalui testimoni dan rujukan.

Setiap naskhah yang diterbitkan pula menjadi portfolio hidup yang meningkatkan kredibiliti. Dengan pandangan jangka panjang ini, penulis tidak hanya mengejar bayaran, tetapi juga membina jenama peribadi yang kukuh.

Misalnya, projek penulisan buku kisah hidup pengasas syarikat batik Noor Arfa. Projek ini amat bermakna buat diri CikYam kerana menambah portfolio yang positif kepada CikYam.

Projek menulis dan menerbitkan buku Noor Arfa adalah antara projek yang membina kredibiliti CikYam sebagai penulis upahan.

6. Ketahanan Mental dan Pengurusan Risiko

Kerjaya penulis upahan tidak stabil seperti makan gaji kerana orang yang makan gaji ada gaji bulanan. Kerja penulis upahan pula, kadang-kadang banyak projek, kadang-kadang sepi. Namun, penulis yang berfikir seperti usahawan tahu bagaimana mengurus risiko, menyesuaikan diri dengan pasaran dan membina sistem pendapatan pelbagai.

Macam CikYam, CikYam cuba sedaya upaya mempunyai klien tetap. Cuba dapatkan empat klien tetap yang membayar RM500 sebulan. Itu sudah ada RM2,000 sebulan. Ikat mereka ini dengan kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Inilah ketahanan mental seorang usahawan. Kita tidak boleh cepat putus asa, sentiasa belajar dan melihat setiap cabaran sebagai peluang baru.

Kesimpulannya, menjadi penulis upahan bukanlah semudah yang disangka. Bukan hanya duduk rumah dan duit datang bergolek. Bukan hanya tahu menulis tetapi yang lebih penting adalah tahu mendapatkan klien.

Komitmen sebagai penulis upahan itu berpanjangan. Selagi ada klien, perlu siapkan tugasan dengan baik dan mengikut kehendak klien, bukan kehendak kita. Berikan idea dan saranan yang betul kepada klien. Barulah jadi penulis upahan yang profesional dengan mindset sebagai usahawan.

Anda perlukan khidmat penulis upahan? Klik sini Hubungi CikYam ya.

Read More

Scroll to Top