Sebagai pengguna tegar media sosial Facebook, CikYam terpandang satu program yang dinamakan Program Kasih Ibu Tunggal atau ringkasnya kasihnITa untuk tahun 2025 di laman media sosial ini. Selepas membaca ringkasan program, CikYam amat tertarik untuk menyertainya. Hebahan juga dibuat di laman web Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Tapi ini untuk ibu tunggal, aku ada suami. Layak ke? CikYam pun baca syaratnya. CikYam nak tahu apa kriteria ‘ibu tunggal’ yang sebenar di bawah definisi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Ikut kepada definisi KPWKM, ibu tunggal ialah wanita ketua isi rumah yang mempunyai tanggungan yang berumur 18 tahun ke bawah. Oh, CikYam memang menepati kriteria itu kerana suami CikYam kurang upaya fizikal dan tiada pendapatan tetap.
Maka, CikYam pun mohon untuk menyertai Program kasihnITa ini. Apatah lagi ada tiga modul pilihan yang ditawarkan. Tiga modul tersebut adalah:
- Modul Pengurusan Kewangan
- Modul Kemahiran Perundangan
- Modul Pembangunan Potensi Diri
Daripada tiga modul ini, CikYam sangat berminat untuk menyertai Modul Pembangunan Potensi Diri. Ini kerana CikYam ingin tahu apa lagi potensi yang ada dalam diri yang boleh dikorek dalam program ini. Potensi adalah sesuatu yang belum kita capai. Jadi, untuk mengetahui potensi diri kita, kita perlukan bantuan daripada pakar untuk kita dapat pendedahan macam mana untuk kenal pasti potensi diri kita sendiri.
OBJEKTIF PROGRAM kasihnITa
Program pemerkasaan khas buat ibu tunggal yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan kerjasama agensi dan tenaga pakar yang berpengalaman. Objektif itu adalah:
- Memperkasa dan membantu ibu tunggal
- Membantu ibu tunggal dalam pengurusan kewangan dan hutang
- Membantu ibu tunggal dalam tuntutan selepas perceraian
- Membantu ibu tunggal untuk membangunkan potensi diri
Selaras dengan objektif ini, CikYam pilih Modul Pembangunan Potensi Diri kerana CikYam ingin mengetahui cara berkesan untuk mengenal pasti potensi yang CikYam ada bagi tujuan meluaskan sumber pendapatan untuk keluarga.
PERJALANAN PROGRAM
Program ini ada tiga fasa. Untuk memudahkan pemahaman, CikYam berikan dalam bentuk tajuk kecil di bawah.
FASA 1: PENGENALAN
Sesi pengenalan modul selama tiga jam secara dalam talian. CikYam berpeluang menyertai semua modul. CikYam masuk kelas Modul Pengurusan Kewangan, Modul Kemahiran Perundangan dan Modul Pembangunan Potensi Diri. Semua CikYam masuk kerana CikYam nak tahu lebih lanjut mengenai ketiga-tiga modul.
Tak susah pun. Kelas semuanya dalam talian. Duduk, catat nota dan dengar apa yang tenaga pakar berikan. Untuk Modul Pengurusan Kewangan, pakar adalah dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Masa dalam kelas tu, ketika sesi soal jawab dibuka, ada beberapa peserta yang memang mengalami kebuntuan kerana ditinggalkan oleh suami dalam keadaan hutang yang terlalu banyak. Suami kononnya nak buat bisnes, gunakan nama isteri. Akhirnya, suami tinggalkan dia, berkahwin dengan perempuan lain, dia terkapai-kapai dengan hutang. Kesian sangat.
Jadi, peserta yang perlukan bantuan kewangan atau bantuan guaman, sangatlah bagus untuk menyertai program ini. Selain dapat ilmu, tenaga pakar yang menjadi mentor dalam kelas boleh bantu mana yang patut untuk tarik ibu tunggal teraniaya ini keluar daripada masalah masing-masing.
FASA 2: PEMBANGUNAN
Latihan intensif mengikut modul selama 1 hari secara fizikal mengikut zon pelaksanaan yang dipilih oleh peserta. CikYam pilih Modul Pembangunan Potensi Diri di zon tengah. Lokasinya di Shah Alam. Dekat sahaja dengan rumah.
FASA 3: BIMBINGAN
Coaching dan mentoring secara individu dan berkumpulan secara dalam talian atau fizikal selama tiga bulan. Untuk fasa 3, belum lagi diumumkan. Doakan CikYam ya semua!
PENGALAMAN DI FASA 2

Kelas Pembangunan Potensi Diri diperkasakan oleh Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai. Kelas bermula dengan sesi mengenal diri masing-masing. Dari sini peserta tahu mengenai kekuatan dan kelemahan diri. Peserta diminta untuk meluahkan semua apa yang dirasa melalui lukisan dan perlambangan.
Ketika sesi bersama ahli kumpulan, ada macam-macam cerita daripada peserta yang CikYam dapat dengar. Ternyata hidup sebagai ibu tunggal sama ada kematian suami atau bercerai dengan suami, bukanlah satu hal yang mudah untuk diterima.
Ada yang lari daripada suami kerana tidak tahan lagi menjadi punching bag. Kerap dipukul oleh suami sehingga menjejaskan emosi anak. Ada yang tidak tahu lagi apa hendak dibuat walaupun telah membuat laporan polis, suami telah dipenjara dan didenda, namun keadaan tidak berubah.
Dari sini, kita boleh ambil kebaikannya. Kadangkala kita rasa ujian hidup kita ini sudah berat namun ada orang lain yang berdepan dengan ujian lebih hebat. Bezanya adalah macam mana kita menyelesaikan setiap ujian itu.

Kelas sesi petang pula adalah mengenai perkara yang realistik. Kenapa CikYam kata realistik? Ini kerana peserta yang pada awalnya dibawa kepada perkara beremosi dalam bentuk positif, kali ini dibawa untuk meneliti keupayaan sebenar diri. Di sini kita kena realistik barulah kita kenal pasti betul-betul apa potensi diri yang kita masih boleh capai.
“Apa perkara yang puan-puan tetap akan lakukan walau dalam keadaan tertekan?”
Jawapan ini membawa kepada peserta mengenal pasti apa passion kita dan di situlah letaknya potensi kita. Pun begitu, tenaga pakar menegaskan lagi empat langkah untuk mengenal pasti passion kita itu sehingga boleh dilakukan untuk kita mendapatkan income melalui aktiviti passion kita.
Oh, CikYam sangat suka dengan sesi ini.

PELUANG BERTEMU MATA DENGAN KETUA PENGARAH JPW

Ketika peralihan sesi awal dan sesi akhir, kelas Pembangunan Potensi Diri menerima kunjungan mesra daripada Ketua Pengarah JPW, Puan Hanani Sapit. Selepas beliau memberikan kata-kata semangat kepada semua peserta, CikYam cepat-cepat keluar dewan kerana nak bersalam dengan beliau.
Selain itu, CikYam sebenarnya nak ucapkan terima kasih kepada beliau kerana menganjurkan program yang sangat best dan sesungguhnya Modul Pembangunan Potensi Diri amat CikYam perlukan untuk kenal pasti apa lagi potensi yang CikYam ada untuk meluaskan sumber pendapatan.
Sebagai orang yang hilang pekerjaan, CikYam amat perlukan sokongan dan program sebegini mampu memberi banyak manfaat kepada individu yang memerlukan seperti CikYam.
Sempat juga CikYam hadiahkan kepada Puan Hanani senaskhah buku Siapa Noor Arfa. Buku ini adalah hasil kerjasama CikYam dan juga klien CikYam iaitu Noor Arfa Batek yang beroperasi di Terengganu.
Nak tengok video CikYam bersama Puan Hanani Sapit? Klik SINI.

Akhir kata, terima kasih kepada JPW yang menganjurkan program sangat bermanfaat seperti kasihnITa ini. CikYam tak sabar untuk mengikuti kelas Fasa 3 pula iaitu mentoring dan coaching. Semoga potensi diri CikYam dapat dikeluarkan dan memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat. AMIN.





