Dulu Wartawan, Kini Penulis Upahan
Tempoh 16 tahun bekerja sebagai wartawan bukanlah satu jangka masa singkat untuk menjadikan CikYam seorang yang matang dalam dunia penulisan. Malah bukan skill menulis je yang matang tapi CikYam turut matang dengan skill interview, penggambaran dan juga dunia sosial media.
Dalam tempoh 16 tahun, CikYam jadi saksi perubahan demi perubahan dalam dunia media massa. Jika dulu media massa gah dengan pelbagai naskhah majalah yang diterbitkan secara bercetak, kini majalah semakin lumpuh. Boleh dikatakan, dah tak ada majalah dah yang diterbitkan dalam bentuk bercetak.
Majalah semuanya dikeluarkan dalam bentuk digital. Namun bukan bentuk konten seperti muka surat majalah sebenar. Majalah hanyalah berbentuk konten artikel sahaja. Kemudian, dunia media massa semakin canggih. Orang semakin malas membaca, lebih suka menonton video. Macam tu la peredaran zaman.
CikYam rasa beruntung kerana pernah berada dalam era kegemilangan penerbitan majalah edisi cetak. Dan kini, apabila dunia kewartawanan semakin matang dengan generasi baru, CikYam bersara pada usia muda. Belum pun sampai usia bersara, tapi CikYam selesa dengan dunia penulis upahan atau ghost writer.
AMBIL UPAH MENULIS
Selepas bersara disebabkan CikYam hilang pekerjaan kerana pengecilan kos oleh syarikat yang terkesan akibat Covid-19, CikYam aktif mengambil upah menulis. Alhamdulillah CikYam boleh menulis pelbagai jenis konten misalnya artikel, copywriting, ebook dan storytelling untuk blog.
Upah yang CikYam kenakan kepada pelanggan adalah mengikut kadar upah standard. Kadar upah ni CikYam dapat selepas hadir Kursus Penulis Upahan atau Ghost Writer yang CikYam sertai. Jadi, bukanlah kadar upah ikut sedap hati nak letak berapa.
BEZA WARTAWAN & PENULIS UPAHAN
Secara peribadi, tak banyak beza kerja antara wartawan dengan penulis upahan. Ada sedikit sebanyak beza yang CikYam nampak. Wartawan menulis ikut kehendak majalah tapi penulis upahan menulis ikut kehendak pelanggan. Wartawan dah tahu apa yang hendak ditulis setiap hari. Tapi penulis upahan kerjanya bergantung pada konten yang ditempah.
Info yang diperoleh sama jugak berdasarkan interview atau write up daripada pelanggan. Jadi skill interview tetap digunakan untuk mendapatkan info bagi menyiapkan konten.
Wartawan dapat gaji bulan-bulan tapi penulis upahan belum tentu ada gaji. Haha.
PASSION CIKYAM
CikYam sangat suka menulis storytelling dan bagi CikYam inilah kekuatan CikYam. CikYam suka bercerita dan menyampaikan cerita dengan emosi. Sebab tu sejak dulu lagi CikYam dah mula menulis storytelling dalam blog CikYam yang kat blogspot. Klik sini kalau nak tengok.
Mungkin sebab CikYam dulu adalah pengelola ruangan Cerpen dalam Majalah Mingguan Wanita. Dan CikYam juga banyak interview golongan ibu tunggal. Banyak kisah suka duka golongan ibu tunggal yang CikYam interview dan kemudian CikYam sampaikan dalam penulisan. Emosi CikYam kacau-bilau masa menulis kisah ibu tunggal yang penuh lara.
Macam mana mereka dicurangi, macam mana mereka disakiti, macam mana mereka memendam rasa sakit di jiwa. Biasanya, CikYam akan menulis sambil mengalir air mata.
CikYam teringin untuk mencatat kisah insan istimewa yang berbakti kepada masyarakat. Cuma belum bertemu lagi insan yang tersebut. Insya-Allah, Tuhan dengar impian CikYam ni dan ada laluan untuk CikYam menerima job mencatat kisah insan hebat suatu hari nanti.
Ada juga yang kata, kau tulislah pasal kau. Macam mana kau bekerja sebagai wartawan, macam mana kau yang bertindak sebagai penyara keluaraga sebab suami kau OKU dan tidak bekerja. Kau wanita hebat dan kuat!
Tak tahulah, CikYam belum rasa CikYam sekuat itu untuk dikatakan sebagai hebat. Cuma CikYam bersyukur kerana walaupun suami CikYam seorang OKU, namun dia banyak membantu memudahkan urusan seharian CikYam. Bila CikYam keluar bekerja, dialah yang jaga anak. Itu sangat-sangat membantu.
Dan CikYam takkan lupa macam mana CikYam menangis sesungguh hati depan bos kerana CikYam tak boleh terima diberhentikan kerja. CikYam takut tak ada kerja sebab CikYam yang sara keluarga. Apa anak-anak nak makan bila CikYam dah takde gaji?
Air mata ketika itu tiada makna. Menangislah kau. Tiada siapa kisah suami kau OKU ke, kau takde gaji lagi ke. Semuanya tersemat dalam hati. Khidmat kau berbelas tahun terhenti di sini, kau tak diperlukan lagi. Namun, CikYam akan tetap menulis kerana penulisan sudah sebati dalam diri.
CikYam,
Menulis bukan kerana nama…
Jom baca entri yang ni juga.
Luqman
Assalmualaikum..cik…saya Luqman…saya ini pelukis….saya memerlukan seseorang Yang buat artikel tentang bidang Yang saya Ada…saya Banyak menghasilkan Karya berbentuk potret idola Dan selebriti seperti m.nasir, Jamal Abdullah Dan artis-artis lain…..saya harap bidang Yang saya ceburi ni dapat diwarwarkan kepada umum