Tentang Cik Yam

Mantan wartawan arus perdana. Kini aktif sebagai penulis upahan dan jurulatih penulisan. Perlukan khidmat penulisan atau jurulatih penulisan? Jom kita bekerjasama!

Curang Tanpa Niat: Sharifah Sakinah, Pesona Watak Antagonis Masa Kini

Facebook
Twitter
LinkedIn

Menonton drama bersiri bertajuk Curang Tanpa Niat, terasa kagum dengan watak antagonis, Astrid lakonan Sharifah Sakinah. Buat masa ini, baru lapan episod disiarkan di Astro dan CikYam telah menonton semua episod tersebut. Ketika blog ini ditulis pun, memang baru lapan episod sahaja yang disiarkan.

Lakonan Sharifah Sakinah sebagai Astrid mengingatkan CikYam kepada watak Ratna lakonan Elony Hayat dalam filem Ibu yang dilakonkannya bersama P.Ramlee. Ala, filem yang P.Ramlee bawa watak Remy, budak yang dari kecil belajar bermain trompet tu.

Elony Hayat (Sumber foto: Kaca Permata, Jamil Sulong)

Dalam filem Ibu, Ratna memikat Remy kerana Remy ialah pemain trompet terkenal di Singapura dan hidup senang-lenang. Dalam drama Curang Tanpa Niat pula, yang CikYam nampak watak Eshaal lakonan Shukri Yahaya ni seorang anak tunggal yang ada kerjaya tapi tidaklah kaya-raya. Nak repair kereta yang calar pun, baki akaun bank ada RM500. Ansuran rumah pada bank pun bapak mentua bayar. Tak tahu apa sebab Astrid goda Eshaal. Mungkin, ya mungkin, mungkin sebab hubungan intim sahaja kot sebab banyak kali babak bersenggama di bilik hotel mereka berdua. Yalah, suami Astrid pun dah tua, lakonan Hasnul Rahmat.

Bercakap mengenai watak Astrid, CikYam memang kagum dengan lakonan Sharifah Sakinah. Cara dia bawa watak tu, seorang ketua di pejabat yang bijak bercakap, yakin dan sentiasa cantik. Walaupun cuba menonjolkan sisi profesionalisme, namun apabila wujud skandal hubungan terlarang memang profesionalisme seseorang itu mudah tercalar dan terus nampak murahan.

Kecantikan

Bersuamikan seorang lelaki kaya menjadikan Astrid memiliki segala-galanya. Dia cuba mengajarkan adiknya, Amara lakonan seorang pelakon baru, Azqa Aziz, supaya menggunakan aset yang ada iaitu kecantikan untuk hidup senang. Tapi dua beradik ni mempunyai pendirian berbeza.

Kalau disorot semula dalam filem Ibu, kecantikan jugalah yang digunakan oleh Ratna untuk menggoda Remy. Kecantikan jugalah yang digunakan untuk wanita hidup senang dan memiliki segala-galanya.

Gaya Ratna pun sama dengan cara Sharifah Sakinah. Penampilan cantik, bercakap dengan orang lain kasar, suara nada tegas namun dengan Remy, berubah cara dia bercakap, lembut dan menggoda.

Watak Astrid, usianya ialah 48 tahun. Memang boleh nampak garis penuaan di bawah mata. Namun, gaya Astrid berpakaian, berjalan, bercakap dan standard yang dimiliki memang kena dengan Sharifah Sakinah.

Eshaal bukanlah lelaki kaya, namun Astrid tetap menggodanya demi sesuatu yang tidak dimiliki oleh suaminya. Dalam masa sekarang iaitu setakat episod lapan, CikYam tak tahu adakah dakwaan selalu dipukul oleh suami itu benar atau sekadar omongan kosong oleh Astrid untuk meraih simpati Eshaal sahaja.

Satu pujian daripada CikYam untuk lakonan Sharifah Sakinah membawakan watak antagonis. Dari sini, CikYam ingin melihat Sharifah Sakinah membawakan watak protagonis atau watak baik misalnya gadis kampung, hidup susah dan terseksa. Nabila Huda ialah pelakon yang CikYam lihat mampu membawakan watak baik dan jahat dengan jayanya. Dia boleh bawa watak jahat dan baik sampai menangis-nangis.

Kesimpulan, trend office husband dan office wife ini memang benar. Ada berlaku. Curang sebenarnya tak perlu niat pun. Memang boleh berlaku pada bila-bila masa. Curang tidak perlu ada niat, namun hanya perlu ada kesempatan. Berbalik pada iman kita sendiri sama ada nak ambil kesempatan itu atau melepaskannya demi kesejahteraan rumah tangga. Ya, kesempatan.

Satu jelah yang CikYam fikir. Astrid boleh goda ramai lagi lelaki lain. Kalau memang ‘itu’ yang dia nak daripada Eshaal. Lelaki bujang kan ramai. Apasal suami orang juga yang engkau nak ya?

Read More

Scroll to Top