CikYam Berceramah Pasal Storytelling di MPI

Apabila sebut nama Malaysian Press Institute (MPI) atau Institut Akhbar Malaysia, terasa gah benar institusi ini kepada seluruh wartawan di Malaysia. Manakan tidak, setiap tahun MPI akan mengiktiraf wartawan-wartawan terbaik yang menghasilkan liputan bernas kepada khalayak.

CikYam sendiri pernah menerima pengiktirafan sebagai Wartawan Rencana Terbaik (Bahasa Melayu) untuk rencana bertajuk Tangan Yang Di Bawah pada tahun 2007 dulu. Paparan rencana mengenai aktiviti pengemis di sekitar Lembah Klang dan juga sedikit teguran mengenai akta lapuk yang masih diguna pakai hingga kini iaitu Akta Orang-Orang Papa 1977.

Akta tu dah tak mampu nak banteras kewujudan pengemis yang bermaharajalela di sekitar ibu kota. Senang cakap, buat penat Jabatan Kebajikan Masyarakat je tangkap pengemis, kemudian pengemis kembali mengemis. Begitulah, berulang-ulang takde kesudahan.

Sebelum berceramah.

Kali ni, bukan nak cakap pasal menang rencana terbaik tu, tapi CikYam nak cakap bahawa CikYam sendiri macam mimpi apabila berpeluang menyampaikan ilmu kepada wartawan muda di bangunan MPI ini sendiri. Yalah, bukan mudah untuk membuat sesi perkongsian ilmu jika kita sendiri tidak mempunyai nilai itu.

Cover slide topik Storytelling.

Tajuk ilmu yang CikYam kongsikan pada hari ini adalah storytelling dalam penulisan rencana berita. Mungkin ada yang kata penulisan rencana berita pun nak kena ada storytelling ke? Jawapannya ya! Rencana berita adalah berbeza dengan berita. Sebab itulah kena ada elemen storytelling supaya rencana yang dihasilkan lebih menarik dan orang suka nak baca.

Semua peserta dalam kelas ni ialah wartawan dan wartawan penyiaran.

Hari tersebut, CikYam tidak keseorangan tapi bersama dengan bos CikYam sendiri iaitu Faizal Zakaria. Beliau bukan calang-calang individu. Beliau ialah pemenang Anugerah Kajai MPI tahun 2006. Hasil berita yang ditulis oleh beliau menyebabkan kebanyakan saluran paip di Selangor telah ditukar dengan saluran paip baru atas desakan-desakan yang tak mampu ditolak oleh pihak berwajib pada ketika itu.

Moga dijemput lagi ke MPI untuk berceramah.

Kesimpulannya, terima kasih kepada MPI atas peluang yang diberikan dan semoga kita bekerjasama lagi pada masa akan datang.