Suri rumah pun boleh ada pendapatan sendiri ke? Ya, betul! Sebagai suri rumah pun anda boleh buat duit sendiri. Caranya adalah dengan menjadi seorang penulis upahan atau ghost writer.
Selepas hilang pekerjaan pada tahun 2020, CikYam telah masuk ke dunia ghost writing untuk mendapatkan duit bagi menyara seisi keluarga. Suami CikYam ialah seorang orang kurang upaya (OKU) dan CikYam perlu menyara keluarga dengan mempunyai income sendiri.
Caranya adalah dengan memanfaatkan kemahiran menulis dan mendapatkan pelanggan untuk mereka upah CikYam menulis bagi pihak mereka. Nampak macam mudah, namun CikYam perlu bergiat aktif mempromosikan diri sendiri supaya bakal pelanggan ‘nampak’ CikYam dan tahu mengenai servis menulis yang CikYam tawarkan.
Pada hari ini, kerjaya tanpa majikan yang semakin mendapat perhatian para suri rumah adalah kerjaya sebagai ghost writer. Antara sebab kerjaya ini menjadi pilihan, bukan sahaja kerana masanya yang fleksibel tetapi kerana kerjaya ini beri peluang kepada suri rumah untuk memanfaatkan bakat menulis yang mereka ada. Yalah, suri rumah sekarang ramai graduan universiti. Semestinya mereka tahu menulis.
Jadi, macam mana cara untuk memulakan kerjaya ghost writer? CikYam berikan lapan panduan untuk anda ikuti.
1. Fahami Kerjaya Ghost Writer
Ghost writer ialah penulis yang menghasilkan karya seperti rencana, buku, ayat iklan (copywriting) atau kandungan media sosial bagi pihak orang lain. Sebagai ghost writer, kita tidak akan mendapat kredit sebagai penulis. Kita hanya mendapat upah apabila dibayar untuk hasil kerja kita tanpa memegang hak cipta.
2. Kenal Pasti Kemahiran
Ya, sebelum memulakan kerja ghost writer, kita kena tahu dahulu kemahiran menulis yang kita ada. Maksudnya, jenis penulisan apa yang kita mahir. Kita perlu mengenal pasti kekuatan dalam penulisan. Adakah kita pandai menulis rencana, cerpen, autobiografi atau ayat iklan? Sekiranya belum pasti, cuba pelbagai bentuk penulisan untuk mengetahui apa yang sesuai dengan minat dan bakat anda.
3. Mulakan dengan Projek Kecil
Jangan ada perasaan ingin terus dapat projek bernilai ribuan ringgit. Bukan apa, nanti kecewa. Mulakan dengan projek kecil dahulu. CikYam sendiri pun bermula dengan upah RM10 untuk satu ayat iklan sepanjang 100 patah perkataan. Mulakan dengan projek kecil seperti menulis rencana untuk blog atau kandungan media sosial. Anda boleh mencari peluang ini melalui rangkaian sosial anda sendiri misalnya kawan-kawan yang menjadi ejen produk. Projek kecil ini akan membantu anda membina portfolio dan meningkatkan keyakinan.
4. Networking dan Promosi Diri
Sebagai suri rumah, kita mungkin terhad dengan masa untuk menghadiri majlis secara fizikal. Namun ini tidak bermaksud kita tidak boleh menambah networking. Kita boleh menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan. Sertai kumpulan-kumpulan penulis di media sosial untuk berhubung dengan individu yang memerlukan perkhidmatan ghost writer.
5. Tetapkan Kadar Bayaran
Salah satu cabaran sebagai ghost writer adalah menentukan kadar bayaran yang sesuai. Mulakan dengan kadar yang berpatutan untuk menarik klien pertama. Setelah pengalaman dan portfolio kita bertambah, kita boleh menaikkan kadar bayaran. Yalah, makin lama kita semakin mahir dan semakin bagus untuk tawar menawar dengan pelanggan.
6. Urus Masa dengan Baik
Poin ini pun mencabar juga. Sebagai suri rumah, keinginan untuk menyeimbangkan antara tanggungjawab rumah tangga dan kerjaya menulis memerlukan pengurusan masa yang bijak. Tetapkan jadual harian dan pastikan anda mempunyai waktu khusus untuk menulis tanpa gangguan. Ini penting untuk memastikan kualiti kerja anda tetap terjaga. Apabila telah ada pelanggan menempah penulisan, janganlah pula apabila anak mahu menyusu, kita pun tertidur sekali ya! Kenalah berkorban demi dapatkan upah.
7. Tingkatkan Kemahiran Secara Berterusan
Penulisan adalah bidang yang memerlukan pembelajaran berterusan. Sertai kursus dalam talian, baca buku mengenai penulisan atau ikuti bengkel untuk meningkatkan kemahiran anda. Kemahiran yang lebih baik akan menarik lebih banyak peluang dan pelanggan premium. Kalau perlukan kelas penulisan, boleh PM CikYam ya! Boleh jengah sini >> bengkel penulisan CikYam dan di sini juga (kelas penulisan PROWRITER)
8. Manfaatkan Sokongan Keluarga
Dapatkan sokongan daripada keluarga. Jelaskan bahawa kerjaya ghost writer adalah peluang untuk membantu kewangan keluarga. Dengan sokongan mereka, anda boleh bekerja dengan lebih fokus dan produktif. Jadi, tidaklah suami macam nak marah kalau kita asyik menghadap laptop.
Kesimpulannya, kerjaya ghost writer adalah peluang hebat untuk suri rumah menjana pendapatan sambil memanfaatkan kreativiti dan bakat menulis. Cikyam sudah pun melaluinya sendiri selepas hilang pekerjaan dulu. Dengan kesungguhan, strategi yang betul dan pengurusan masa yang baik, kita boleh membina kerjaya yang berjaya tanpa meninggalkan rumah. Jadi, tunggu apa lagi? Ambil peluang ini untuk menjadikan minat anda sebagai sumber pendapatan dan bantu keluarga anda mencapai kestabilan kewangan!