CikYam bukan nak tunjuk pandai. Tapi entri ini adalah luahan ikhlas daripada seorang penulis yang pernah hilang kerja, jatuh terduduk dan bangkit semula hanya dengan satu senjata iaitu menulis. Bagi anda yang sedang membaca, jangan anggap CikYam nak menjual mimpi. Sebaliknya, inilah testimoni sebenar seorang wanita, ibu dan penyara keluarga yang menjadikan penulisan sebagai kerjaya tetap selepas hilang pekerjaan. Harap anda baca dengan hati terbuka. Mana tahu, inilah titik mula perubahan hidup anda.
Sakitnya apabila hilang pekerjaan sedangkan seisi keluarga bergantung harap pada duit gaji tiap-tiap bulan. CikYam tak tunggu lama. Terus pasang strategi untuk cari income melalui servis penulisan. Ya, CikYam pilih jadi penulis upahan.
Enam Point Penting Yang CikYam Lakukan
1. Majikan hanya sementara
Tiada siapa boleh jamin kerja kita hari ini kekal sampai pencen. Terutamanya kalau anda kerja di sektor swasta, hari ini mungkin anda ketua jabatan, esok surat berhenti kerja sampai di tangan. Apabila itu terjadi, apa senjata anda untuk cari makan? Ramai orang lumpuh semangat kerana hilang kerja. Tapi kalau anda ada plan B, anda tak perlu takut. Macam CikYam, bila diberhentikan sebagai wartawan, penulisan menjadi senjata untuk bertahan.

Walaupun masa diberhentikan kerja tu, CikYam tak bersedia langsung kerana menyangka bahawa boleh kerja sampai usia pencen iaitu 50 tahun. CikYam tak ada wang simpanan enam bulan atau emas berlonggok sebagai pesediaan. CikYam cuma diberi notis berhenti kerja dan kena berhenti tanpa ada persediaan mental atau kewangan. Namun alhamdulillah, masih ada jalan untuk dapatkan income.
2. Sediakan diri dengan kemahiran

Tak kisahlah apa pun kerjaya anda sekarang, siapkan diri dengan satu kemahiran yang boleh bantu anda jana pendapatan apabila terdesak. CikYam beruntung kerana pernah jadi wartawan, jadi kemahiran menulis memang sudah ada. Tapi sesiapa pun boleh belajar menulis, yang penting minat dan disiplin.
3. Kemahiran sahaja tidak cukup, perlu ilmu perniagaan
Nak buat duit, kena tahu cara. Kemahiran menulis hanya permulaan. Anda perlu belajar marketing. Belajar tentang sasaran pelanggan, teknik menjual servis, bina personaliti jenama, dan kenali masalah pelanggan yang anda boleh bantu selesaikan melalui penulisan.
4. Gunakan media sosial dan website

Apabila nak buat marketing, mulakan dengan memperkenalkan diri. CikYam perkenalkan diri sebagai penulis upahan untuk copywriting, artikel dan skrip video. Di Facebook, CikYam bercerita, berkongsi hasil kerja dan testimoni pelanggan. Website pula jadi tempat profesional untuk tonjolkan portfolio. Dua platform ini sangat penting jika anda serius mahu jana pendapatan secara konsisten.
5. Jadi usahawan profesional

Daftar perniagaan di SSM, sediakan invois dan buat surat perjanjian sebelum mula kerja. Ini semua penting untuk jaga hak anda sebagai penulis. Bila anda profesional, pelanggan juga lebih yakin untuk berurusan.
6. Cari pelanggan tetap
Inilah rahsia untuk income tetap. Apabila anda dah ada pelanggan tetap, anda tidak perlu risau setiap bulan. Mereka akan datang semula, beri kerja dan bayar tepat pada masanya. Untuk dapat pelanggan begini, jaga kualiti kerja, beri servis terbaik dan sentiasa bertanggungjawab.
Kini, CikYam bukan sekadar penulis upahan tetapi penulis profesional yang diupah untuk menulis bagi pihak individu berprofil tinggi. Pada tahun 2025, CikYam berjaya menerbitkan buku untuk syarikat Noor Arfa Batek.



Apa yang CikYam kongsikan ini bukan teori. Inilah langkah-langkah yang CikYam buat sendiri, dari bawah sampai sekarang boleh jana pendapatan tetap hanya dengan menulis. Kalau CikYam boleh, anda pun boleh. Cuma satu syarat, anda kena berani mula.