Kerja menulis, ada kalanya memang kita akan berdepan dengan ketandusan idea. CikYam pun pernah kena seperti itu. Akhirnya, dua tiga jam jugalah tidak menulis apa-apa. Alangkah ruginya masa terbuang begitu sahaja. Namun, anda jangan risau, inilah perlunya penulis berkawan baik dengan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kerana AI boleh memudahkan kerja penulis upahan.
AI bukan datang untuk menggantikan penulis tapi untuk memudahkan hidup penulis. Bayangkan ada pembantu maya 24 jam yang boleh bantu cari idea, semak tatabahasa dan bantu strukturkan rencana yang kita tulis. Menarik, kan?

Ramai penulis yang ‘takut’ dengan hadirnya AI. Katanya AI akan ambil alih tugas mereka. Itu adalah tanggapan yang salah. Kita adalah manusia yang dicipta dengan kebijaksanaan semula jadi.
Jom kita tengok lima cara ChatGPT boleh bantu kerja-kerja penulis upahan dengan lebih cepat, kemas dan profesional.
1. Bantu Dapatkan Idea dengan Cepat
Apabila kita buntu untuk tulis tajuk atau sudut pandang, tanya sahaja pada ChatGPT. AI boleh bantu hasilkan senarai idea topik berdasarkan niche klien. Syaratnya kita perlu berikan arahan yang spesifik dan tepat mengikut kepada apa yang kita mahukan.
2. Bantu Buat Outline dan Struktur Penulisan
Seterusnya, apabila dapat tajuk, kita perlukan susunan isi kandungan yang perlu ditulis. AI boleh bantu bina outline lengkap iaitu daripada intro, isi utama, sampai penutup. Hal ini sangat menjimatkan masa dan buatkan penulisan nampak lebih tersusun.
3. Menulis Draf Awal dengan Cepat
Ikut kepada pengalaman menulis rencana majalah sejak tahun 2004 dahulu, perkara paling susah adalah untuk menyiapkan draf pertama. Tapi dengan ChatGPT, kita boleh hasilkan draf asas dalam beberapa minit. Kemudian, tugas kita adalah edit, tambah jiwa dan gaya penulisan sendiri. Ini menjadikan proses menulis jauh lebih pantas.
4. Semak Gaya Bahasa dan Ejaan
Kadang-kadang kita terlepas salah ejaan atau ayat janggal. ChatGPT boleh bantu semak dan kemaskan bahasa, sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Senang kata, AI ini menjadikan kita seperti ada editor mini yang sentiasa membantu kerja-kerja penulisan yang kita buat.
5. Ubah Gaya Tulisan Ikut Keperluan Klien
Setiap klien ada gaya tersendiri. Ada yang mahu nada formal, ada yang perlukan gaya santai. ChatGPT boleh bantu ubah tone tulisan supaya sesuai dengan brand voice klien. Jadi kita tidak perlu mula dari kosong setiap kali nak ubah gaya tulisan.
Penulis perlu faham situasi ini: AI bukan ancaman kepada kerjaya kita tapi AI ini adalah alat yang bijak kalau kita tahu cara guna. ChatGPT tak boleh ganti keunikan gaya penulis manusia tapi AI sangat berkesan untuk bantu kita jadi lebih laju, lebih kemas dan lebih bernilai di mata klien.
INDUSTRI PENULIS UPAHAN TEPU SEBAB ADA AI?
Banyak kali CikYam dapat soalan ini daripada rakan penulis upahan dan juga daripada beberapa organisasi yang CikYam pergi untuk pitching program Kursus Penulis Upahan.
Jawapan CikYam untuk soalan ini adalah AI tidak akan menyebabkan industri penulis upahan menjadi tepu, tapi tools ini akan menapis siapa yang benar-benar bernilai. Kita kena jadi realistik dalam isu ini kerana kita takkan mampu menghalang AI daripada terus berkembang.
Kenapa kerjaya penulis upahan masih relevan walaupun ada AI?
1. AI Belum Mampu Memahami Emosi Manusia
ChatGPT dan AI lain boleh menulis dengan cepat, tapi tulisan itu masih kekurangan jiwa, konteks budaya dan sensitiviti manusia.
Contoh mudah CikYam berikan di sini adalah AI boleh tulis rencana mengenai pengalaman ibu tunggal tapi AI takkan dapat menggambarkan emosi sebenar kehilangan, ketabahan dan kasih sayang seperti yang ibu tunggal itu sendiri hadapi. Inilah ruang untuk penulis upahan tetap relevan. Kita semua mampu menulis dengan rasa.
2. AI Meningkatkan Produktiviti, Bukan Menghapus Pekerjaan
Sejujurnya, CikYam mengakui bahawa AI akan menggantikan cara kerja tradisi yang telah kita amalkan sekian lama. Namun, AI bukan manusia yang tahu menyesuaikan diri.
Penulis upahan yang tahu guna AI sebagai pembantu akan menjadi penulis yang sangat berkesan. Sebab apa? Ini kerana penulis tersebut mampu menghasilkan lebih banyak projek dan melontarkan idea dalam masa singkat. Maksudnya di sini adalah AI bukan penghalang perkaya penulis upahan tapi boleh jadi senjata baru untuk mereka yang mahu berkembang.
3. Pasaran Akan Jadi Lebih Pintar, Bukan Lebih Sesak
Kalau dilihat, semakin ramai yang boleh menulis dengan bantuan AI. Pun begitu, apa yang boleh dikenal pasti adalah bukan semua mereka ini mampu menulis dengan kualiti profesional.
Pembaca termasuklah klien yang berpengalaman akan mampu membezakan antara tulisan AI semata-mata dengan tulisan penulis sebenar yang tahu berfikir strategik, menyesuaikan gaya dengan audiens dan memahami objektif komunikasi.
4. Bukan Sekadar Penulis Tapi Content Strategist
Persaingan dalam dunia penulis upahan boleh dikatakan tinggi. Apatah lagi dengan wujudnya AI yang melahirkan lebih ramai manusia yang boleh menulis.
Tingkat kredibiliti penulis dengan penulisan yang mampu memahami kehendak klien dan merancang penulisan yang berstrategi. Nilai penulis pada hari ini bukan sekadar menulis ayat cantik, tapi mampu menjadi content strategist untuk meraih pendapatan lebih tinggi.
Secara mudahnya, penulis itu sendiri perlu bijak menggunakan AI untuk menghasilkan penulisan yang berimpak lebih tinggi. Inilah generasi baru penulis upahan. Bukan setakat menulis tapi bertindak sebagai pakar komunikasi dan strategi.
Kesimpulannya di sini, apa yang CikYam nampak adalah AI akan menghapuskan penulis yang malas berfikir. Wujudnya AI, akan mengangkat penulis yang kreatif dan berani bereksperimen. Industri penulis upahan tidak akan tepu dengan wujudnya AI. Industri ini sedang melalui proses saringan. Mereka yang kekal ialah penulis yang bukan sekadar menulis biasa-biasa tapi menulis guna otak dan hati.
TRAINING BEST UNTUK PENULIS UPAHAN MENGENAI AI
CikYam berbesar hati untuk berkongsi mengenai AI yang memudahkan kerja penulis upahan. Bukan nak mengajar supaya penulis guna AI ketika menulis. Sebaliknya untuk tunjukkan macam mana AI ni boleh bantu mencepatkan kerja menulis, menstrukturkan kerja menulis, memberikan penulisan lebih berstrategi dan prompt yang berkesan untuk memahamkan AI mengenai apa yang kita nak.
Ada yang berminat? ISI FORM NI YA . Dapat 10 orang, kita onzzzz.