Selepas lebih 16 tahun berhari raya sebagai wartawan, CikYam akhirnya menyambut raya sebagai seorang penulis upahan mulai tahun 2021. Ketika itu barulah CikYam sedar bahawa kerjaya penulis upahan ini, rupa-rupanya masih ramai tidak tahu dan tidak faham.
Ekoran itu, apabila ada tetamu yang tegur, “Yam kerja wartawan, kan?” maka, CikYam jawab jujur, “Dah bukan wartawan. Sekarang jadi penulis upahan.”
Mereka semakin keliru apabila CikYam kata, CikYam kerja sendiri. Ambil upah menulis dan buat kerja hanya dari rumah dengan menulis. Ternyata, masih ramai yang belum faham apa itu kerja penulis upahan.
Pun begitu, CikYam seronok menerangkan perihal kerja penulis upahan kerana tetamu yang datang berziarah ini ada pelbagai peringkat. Kita takkan pernah tahu bahawa mungkin ada antara mereka yang bertanya ini bakal menjadi pelanggan kita. Maka, jawab sahaja dan berbangga dengan kerja kita.
Jadi, apabila Syawal sudah semakin hampir, apa strategi kita sebagai penulis upahan untuk tetap bekerja walaupun sambil menyambut hari raya? Bukan apa, CikYam pernah kata bahawa penulis upahan perlu ada mindset sebagai usahawan. Tanpa mindset ini, seorang penulis upahan sukar untuk kekal mendapat tugasan dan mendapat upah. Tanpa job atau tugasan, tiadalah upah yang bakal kita dapat. Kan?
Ini tiga tip untuk kita berhari raya sebagai penulis upahan

1) TERANGKAN PERIHAL KERJA KITA
Bukan semua orang tahu dan faham mengenai kerjaya penulis upahan. Mereka anggap, jika duduk di rumah sahaja, itu bukan kerja namanya. Mereka tidak faham bahawa sebagai penulis, kita boleh jadi majikan kepada diri sendiri malah kita boleh membayar upah kepada orang lain untuk bekerja dengan kita, misalnya pereka grafik dan penulis bersama.
2) BANGGA DENGAN KERJA KITA
Apabila kita terangkan mengenai kerja penulis upahan, ceritalah dengan rasa bangga. Jangan sesekali merendahkan kerja kita dengan ayat misalnya, “Ala, ambil upah menulis kecik-kecik je dari rumah sambil jaga anak.”
Banggalah mengatakan, “Saya menulis untuk orang perseorangan, pemilik perniagaan atau agensi kerajaan.”
Bangga bukan untuk riyak tetapi menaikkan kredibiliti kita sebagai penulis upahan dan kita buat kerja kita dengan penuh rasa profesional. Hal ini bukan saja beri kita semangat dan kita sendiri akan semakin sayang dengan kerja kita itu.
3) JANGAN LUPA AKTIVITI PROSPECTING
Sambil-sambil kita beraya dan berbual dengan tetamu mengenai kerja penulis upahan, jangan lupa aktiviti yang dinamakan sebagai prospecting.
Apa itu prospecting? Prospecting ialah proses mencari dan menapis bakal pelanggan (prospek) yang berpotensi untuk guna khidmat kita. Jangan lupa ambil tahu prospek itu kerja apa dan adakah kemungkinan dia atau organisasi dia perlukan khidmat kita suatu hari nanti.
Prospecting ini boleh dikatakan sebagai perkara pertama yang kita buat untuk bina senarai pelanggan berkualiti. Ini termasuklah untuk pastikan mereka ada bajet dan ada kuasa untuk bayar servis kita.
Apa yang boleh kita buat apabila kita buat prospecting?

a) Kenal pasti masalah pelanggan
Contoh, orang itu seorang guru. Selalunya guru perlukan konten jenis apa? Misalnya teks ucapan, lirik lagu untuk pertandingan.
b) Kenal pasti bajet pelanggan
Ambil tahu adakah pelanggan ini mempunya sejumlah bajet yang sesuai dengan servis anda.
Ketika itu juga, jangan sesekali beri kad bisnes anda untuk memudahkan prospek menghubungi anda. Paling utama, jangan lupa ambil nombor telefon atau e-mel prospek untuk anda buat follow up.
Teknik prospecting sangat penting untuk pastikan anda tidak putus jualan. Aktiviti prospecting yang betul membolehkan anda dapat pelanggan baru dan kerja-kerja marketing lebih fokus.
Kesimpulannya, sebagai penulis upahan, beraya-beraya juga tetapi perlu juga bijak gunakan peluang itu untuk kenal pasti prospek yang berkualti sekali gus memungkinkan kita dapat pelanggan baru. Sambutlah hari raya dengan bijak supaya kita tidak buang masa begitu sahaja. Barulah kita jadi seorang penulis yang buat kerja menulis dari rumah sahaja tetapi tetap ada pendapatan yang boleh kita guna untuk menyara kehidupan seharian kita. Banggalah dengan kerja kita sebagai penulis upahan!





