2 Tahun Hilang Pekerjaan Wartawan, Kini Bekerja Semula
Disember 2020, CikYam hilang pekerjaan. Maksudnya bermula Januari 2021, CikYam telah mula hidup tanpa ada pekerjaan tetap sebagai wartawan. Sejak itulah CikYam jadi penulis upahan sepenuh masa. Ya, bekerja sendiri. Ada kerja, ada duit. Tiada kerja, meloponglah diri.
Banyak perubahan berlaku dalam hidup sepanjang dua tahun iaitu 2021 dan 2022 terutamanya dari segi ekonomi rumahtangga. Tanpa pendapatan tetap, memang duit upah menulislah yang jadi sumber untuk menyara kehidupan seisi keluarga. Memang sangat-sangat sukar.
Bekerja sebagai penulis upahan sebenarnya amat menyeronokkan. Ini kerana kita boleh pilih jenis konten yang kita suka untuk tulis. Maknanya penulisan itu lebih dekat dengan apa yang kita suka. Di samping itu, CikYam juga aktif menyediakan sesi kelas penulisan artikel berstrategi. Modulnya CikYam sediakan sendiri berdasarkan kepada pengalaman sebagai wartawan selama lebih 16 tahun.
CABARAN HILANG PEKERJAAN
Apabila hilang pekerjaan, cabaran paling berat yang CikYam hadapi adalah untuk mengekalkan pendapatan mengikut kepada penanda aras gaji terakhir. CikYam perlu ada sejumlah wang yang tetap kerana CikYam ni banyak komitmen dengan bank. Bunyi macam sedap je kan, komitmen. Dalam bahasa kasarnya, hutang. Ya, hutang bank. CikYam perlu ada RM3,000 sebulan untuk membayar semua komitmen atau hutang bank termasuk dengan komitmen lain misalnya bil utiliti dan insurans.
Hal inilah yang sangat berat untuk CikYam hadapi. Sedih sesangat! Tapi kena kuat semangat.
Selain itu, ketika inilah juga CikYam perlu menyiapkan rumah CikYam di kampung. Impian CikYam adalah untuk menyiapkan rumah itu sementara abah CikYam masih bernyawa. Itu rumah pusaka arwah nenek dan atuk. Abah sayang rumah tu. Jadi, CikYam nak baik pulih rumah tu semata-mata demi abah gembira.
Dengan duit yang ada dan dengan duit yang dikumpul melalui kerja-kerja upah menulis, CikYam buat sikit-sikit rumah tu. Tak mampu upah tukang rumah, suami CikYam sendiri yang usahakan. Dengan cacat kaki, dia buat jugaklah rumah tu.
Dalam tempoh dua tahun, 2022, alhamdulillah rumah pusaka itu telah boleh diduduki. Dah ada air, dah ada elektrik. Cumanya yang belum ada adalah perabot, langsir, peralatan elektrik misalnya televisyen. Yang ada semuanya yang asas sahaja iaitu mesin basuh, peti sejuk dan mesin penapis air jenama Cuckoo. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya abah gembira.
TAWARAN KERJA
Pada Januari 2023, CikYam mendapat tawaran kerja di sebuah company brand storyteller yang ibu pejabatnya terletak di Shah Alam. Lokasinya amat dekat dengan rumah CikYam di Shah Alam. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, CikYam tak mampu menolak tawaran ini.
Walaupun CikYam dan keluarga perlu berpindah semula ke Shah Alam, kami suami isteri akur kerana inilah peluang untuk mempunyai kembali pendapatan tetap seperti sebelum CikYam hilang pekerjaan dua tahun lepas.
Justeru, CikYam uruskan perpindahan sekolah anak dari Batu Pahat ke Shah Alam semula. Kami uruskan juga pertukaran tempat rawatan susulan di klinik kesihatan. Segala-galanya bertukar kembali seperti asal. Suami yang ketika itu telah bekerja di kantin sekolah pun, kena berhenti dan kembalilah membuat kerja-kerja servis pembuangan sampah di apartment kami.
KEMBALI BERAKSI
Selepas dua tahun bekerja dari rumah sebagai penulis upahan, CikYam kini kembali bekerja di pejabat. Tugasan CikYam lebih kurang sama seperti tugas wartawan namun CikYam lebih kepada penceritaan dan bukannya sekadar melaporkan.
CikYam terlibat dari awal perbincangan hingga kepada pembikinan dan semakan kandungan. Selain kandungan berbentuk teks, CikYam juga terlibat dengan penghasilan video.
Kesimpulannya, alhamdulillah selepas dua tahun bekerja sendiri dengan keadaan pendapatan tidak menentu, kini CikYam bekerja kembali dengan pendapatan tetap. CikYam bukan nak kata kerja sebagai ghost writer tak boleh buat duit. Boleh sesangat. Selama bekerja sebagai penulis upahan, CikYam boleh bayar loan rumah, loan kereta, bil utitliti semua tu termasuklah menyiapkan rumah di kampung.
CikYam cuma inginkan income tetap supaya CikYam tidak terlalu serabut memikirkan hal duit setiap bulan. Itu sahaja. Ketika posting ini dibuat, sudah pun bulan Mei 2023. Maknanya sudah tiga bulan CikYam bekerja dan pekerjaan sebagai Strategic Content Manager di Modachi Sdn Bhd amat menyeronokkan. Walaupun pejabatnya tidak sebesar pejabat Karangkraf, namun CikYam happy di sini.
Jika anda ingin membuat buku, menghasilkan konten untuk pemasaran atau bekerjasama dengan mana-mana selebriti dan influencer, content saja CikYam.